Monday, April 29, 2013

nasi ayam hainan

 
 

Nasi Ayam Hainan

Nasi :
- 4 cawan beras (dibasuh dan direndam sekurang-kurangnya setengah jam dalam air biasa dan kemudian di toskan) - boleh guna apa-apa saja jenis beras.
- 4 cawan air untuk masak nasi (ikut jenis beras yer, kalau jenis yang perlu air banyak, lebihkanlah airnya)
- 1 labu bawang putih dicincang halus (kalau boleh jangan tumbuk dan sama sekali jangan blend)
- 4 helai daun pandan yang disimpul
- 1 kiub pati ayam
- 2 sudu butter
- 2 sudu minyak masak
- sedikit garam

Cara-cara :
1. Panaskan minyak dan butter dengan api sederhana bessar.
2. Tumiskan bawang putih sehingga wangi dan warnanya berubah menjadi kuning gelap. Hai-hati jangan sampai hangus.
3. Masukkan beras yang telah ditoskan dan gaul rata bersama daun pandan dan pati ayam.
4. Taburkan sedikit garam. Jangan banyak sangat yer, secubit pun dah cukup.
5. Pindahkan beras yang telah bersalut rata dengan bawang putih tadi kedalam rice cooker.
6. Masukkan air secukupnya seperti mana biasanya kita memasak nasi dan masaklah dalam rice cooker seperti biasa.
7. Jangan lupa kacau sedikit nasi bila dah kering airnya supaya gebu.

Sementara tu, mari siapkan bahan2 lain.



Ayam
2 ekor ayam yang dipotong 4. (Quarter chicken)
15 ulas bawang merah dihiris
5 ulas bawang putih dihiris
3 inci halia dihiris
2 sudu biji ketumbar disangai
2 batang serai dititik
2 sudu minyak masak
sedikit penumis (kulit kayu manis, bunga lawang dan bunga cengkih)
Sedikit kicap pekat, kicap manis, sos tiram, serbuk kunyit dan serbuk cili
Garam dan gula sebagai perasa
Air yang banyak.


Cara-cara:
1. Tumiskan dengan minyak bahan-bahan penumis dan kemudian masukkan 1/3 bawang merah.
2. Bila dah sedikit wangi, masukkan juga separuh bawah putih dan separuh halia. Tumis lagi hingga wangi.
3. Bila dah wangi, masukkan air yang banyak dan rebuskan ayam 2 ekor tersebut. Tunggu sehingga ayam masak, tapi jangan lama-lama sangat.
4. Biarkan air rebusan di dalam periuk tersebut dan matikan api. Toskan ayam yang telah masak tadi.
5. Bawang merah, bawah putih, halia, serai dan biji ketumbar tadi, ditumbuk halus.
6. Dalam bekas lain, gaulkan ayam yang telah ditoskan bersama bahan tumbuk, kicap pekat, kicap manis, sos tiram, serbuk kunyit dan serbuk cili serta garam dan gula.
7. Perapkan selama setengah jam.
8. Kemudian ayam tersebut bolehlah digoreng sekadar untuk menggaringkan bahagian luarnya kerana ayam tersebut telah pun masak.



Sup

- Air rebusan ayam tadi
- Beberapa batang lobak merah yang dikerat 4 atau 3 dan dibelah 4 atau 6.
- Beberapa batang celery, atau boleh guna daun sup.
- Bawang goreng.

Cara-cara :
1. Didihkan semula air rebusan ayam tadi.
2. Masukkan lobak merah dan batang celery atau taburkan daun sup.
3. Rasa garamnya.
4. Taburkan bawang goreng semasa menghidang.

Nota : Terpulanglah apa lagi yang anda suka untuk dimasukkan dalam sup ini, seperti kaki ayam, atau ubi kentang dan sebagainya.


Sos cili :
- 5 biji cili merah segar
- 7 biji cili padi merah
- 2 cawan air
- 1 sudu cuka atau asam limau
- Garam dan gula
- Setengah sudu tepung jagung yang dibancuh dengan 2 sudu air.

Cara-cara:
1. Blend cili merah dan cili padi sehingga hancur dengan air.
2. Masukkan dalam periuk dan didihkan.
3. Masukkan cuka atau asam limau dan perasakan garam dan gulanya.
4. Bila dah ok, masukkan bancuhan tepung jagung dan gaul rata hingga didih.
5. Siap untuk dihidangkan.

Bahan ulam :
- Daun salad
- Timun yang dihiris
- Tomato hiris

No comments:

Post a Comment