Saturday, March 26, 2011

Rasa Satay

MAKAN-MAKAN: Resipi turun-menurun
Oleh NORAINON OTHMAN
norainon@hmetro.com.my

JARANG ada yang menolak jika disuakan sate. Makanan tradisi beraroma itu cukup sinonim dan digemari orang kita. Malah, ia menjadi menu rebutan di kebanyakan jamuan.

Keenakan bahan yang diperap dengan rempah-ratus, dicucuk lidi dan dibakar, kemudian dimakan bersama timun, bawang mentah, nasi himpit dan sambal kacang cukup merangsang selera. Bagaimanapun, restoran yang mengusahakan sate sebagai menu utama boleh dibilang dengan jari.

Jika anda penggemar sate, kunjungilah Rasa-Rasa Satay di Prima Sri Gombak, Batu Caves, yang menyajikan pelbagai jenis sate. Restoran sate berkenaan mulanya dibuka di Kuantan tetapi berpindah ke lokasi baru kerana pasaran lebih tinggi dan bahan mentah mudah diperoleh.

Pengurusnya, Mohamad Rizuan Mohd Razali, berkata resipi turun-temurun menjadi pertaruhan dia dan kakaknya, Zalina, mengusahakan restoran berkenaan.



“Resipi sate ini daripada datuk kami yang dulu selalu mengambil tempahan sate. Ia kemudian diperturunkan kepada bapa saudara yang turut berniaga sate di tepi jalan. Kini saya dan kakak pula mempopularkannya kerana yakin sate menu yang digemari rakyat Malaysia,” katanya.



Menurutnya, selain sate daging ayam, lembu dan kambing yang menjadi kegemaran pelanggan, pihaknya turut menawarkan sate pedal, hati, perut dan rusa. Sate pedal dan hati yang jarang ditawarkan di tempat lain digemari kaum hawa.

Ramuan sama digunakan untuk memerap semua jenis sate termasuk pedal, perut dan hati tetapi bahan mentah berkenaan direbus terlebih dulu sebelum diperap dengan ramuan rempah-ratus.

“Untuk sate ayam, semua bahagian digunakan manakala untuk daging (lembu), bahagian batang pinang dipilih kerana ia lembut dan lebih enak manakala sate kambing diperbuat daripada bahagian paha.

“Sate diperap seharian sebelum dicucuk dan dibakar.

“Sate bukan saja digemari orang Melayu tetapi juga Cina dan India. Sambutan diterima sejak restoran ini beroperasi, Oktober lalu cukup memberangsangkan. Selain pesanan untuk makan di restoran, kami turut menerima tempahan untuk katering.

“Bagi tempahan sekurang- kurangnya 500 cucuk, kami menyediakan khidmat bakar dan hantar kepada pelanggan tetapi jika 1,000 cucuk ke atas, ia boleh dibakar di lokasi. Setakat ini, kami banyak menerima tempahan katering daripada orang Cina,” katanya.

Sate arnab ditawarkan harga promosi RM1.60 secucuk. Walaupun tidak semua orang berani mencuba sate arnab, ia mempunyai pelanggan tetap kerana dagingnya lembut dan halus.

Tidak puas makan sate, hidangan sampingan yang boleh dicuba ialah nasi goreng istimewa Rasa-Rasa Satay. Menu mengandungi udang bersalut tepung, telur dadar, keropok, tiga cucuk sate dan sambal belacan itu pasti tidak rugi jika dipesan.

Selain itu, anda boleh mencuba mi bandung yang dilengkapi bahan yang menambah keenakannya seperti telur, udang, ayam, sawi dan tauge. Jika mahu, nasi kukus ayam berempah, cuba pesan menu itu di Rasa Rasa Satay yang turut menyertakan kari ayam, sambal belacan dan acar timun. Bagi yang tidak menggemari masakan pedas atau kanak-kanak, mi hailam amat sesuai. Ia mewah dengan udang, sotong dan ayam.

Bagi mengelakkan loya kerana makan banyak, minuman sesuai disediakan di Rasa Rasa Satay. Anda boleh membasah tekak dengan jus epal kasturi, epal asam boi atau kasturi asam boi.


NASI GORENG RASA-RASA SATAY

Bahan:

Sotong, ayam dan udang.
1 sudu teh sambal belacan.
1 sudu makan cili kisar.
3 ulas bawang merah.
1 ulas bawang putih.
Garam dan gula secukup rasa.
1 sudu rempah sate.
Kailan, lobak merah, kubis dan kubis ungu (dihiris kecil).
3 ekor Udang goreng tepung.
Telur dadar.
3 cucuk sate.
Sambal belacan.

Cara memasak:
Tumis bawang putih dan merah. Tuang sedikit air. Masukkan sotong, udang dan ayam. Masukkan sambal belacan dan cili kisar, garam, gula dan rempah sate. Masukkan nasi, gaul diikuti kailan, lobak merah, kubis dan kubis bunga.

MAKANAN-HARGA
1. Sate ayam/hati 60 sen (secucuk)
2. Sate daging/kambing 70 sen (secucuk)
3. Sate perut muda RM1 (secucuk)
4. Sate arnab RM1.60 (secucuk)
5. Nasi goreng istimewa Rasa-Rasa Satay RM10
6. Mi Bandung RM6.50
7. Nasi kukus ayam berempah RM6.50
8. Mi hailam RM6.50

MINUMAN-HARGA
1. Epal kasturi RM3.30
2. Epal asam boi RM3.30
3. Kasturi asam boi RM3.30

ALAMAT: G-75, Jalan Prima SG3, Prima Sri Gombak, 68100 Batu Caves.
TELEFON: 017-3871416
WAKTU PERNIAGAAN: Selasa hingga Ahad dari jam 12 tengah hari hingga 12 malam.
Kongsi artikel ini menerusi media sosial

Friday, March 18, 2011

Nasi Ayam Bacang


Nasi ayam Bachang


SUZIANA Ali (tengah) bersama kedua-dua anaknya, Dhamirah Hadirah (kanan) dan Dhamirah Nabiilah memegang antara hidangan istimewa iaitu nasi ayam special dan chicken chop di Restoran Nasi Goreng Special, Jalan Bachang, Melaka.

SINGGAH MAKAN
MELIHAT keadaan luar restoran, Nasi Ayam Special berhampiran lampu isyarat Jalan Bachang di Melaka, tiada bezanya dengan kedai makan nasi ayam lain.

Namun, bagi mereka yang sering menjadikan restoran ini 'tempat melepak' setiap kali tiba waktu makan tengah hari, keenakan ayam goreng kukus ala masakan Cina sudah sinonim dengan selera mereka.

Ramai yang tidak boleh melupakan keenakannya yang bukan sahaja sehingga menjilat jari, malah terbawa-bawa sehingga sudah pulang ke rumah.

Restoran nasi ayam ini diusahakan oleh Suziana Ali, 38, bersama suami dengan menyajikan hidangan nasi ayam yang ringkas, lazat dan cepat bersesuaian dengan selera masyarakat pelbagai kaum di negara ini.

Paling paling penting, harganya sangat berpatutan iaitu hanya RM3.50.

Restoran itu beroperasi sejak 16 tahun lalu. Ia dibuka dari pukul 11 pagi sehingga 12 tengah malam setiap hari kecuali Selasa.

Sepanjang beroperasi di lokasi itu, penambahbaikan rasa dan ramuan nasi ayam restorannya sering dilakukan. Ia demi memastikan pelanggan tidak bosan dengan sajian di restoran itu.

"Kita sediakan hidangan nasi ayam yang ringkas, sedap dan cepat sesuai untuk pelanggan kami yang rata-ratanya kakitangan pejabat," kata Suziana yang ditemui S2 baru-baru ini.

Pelanggan yang membuat pesanan nasi goreng misalnya, akan dihidangkan dengan ayam daripada sajian nasi ayam bagi membolehkan mereka merasa keenakannya bersama sambal pedas sebagai sos.

Cara penyediaan ayam goreng untuk nasi ayam ini nampak ada persamaan dengan cara peniaga nasi ayam berbangsa Cina. Daging ayam direbus sebelum digoreng agar ia nampak lembap dan segar.

"Namun, saya ada resipi sendiri yang saya cipta dan ternyata diminati ramai," jelas Suziana sambil tersenyum merahsiakan ramuan menyediakan sajian ayam goreng untuk nasi ayamnya itu.

Restoran Nasi Ayam Special juga mempunyai cawangan di Lorong Pandan di Melaka.

Selain nasi ayam, pelanggan juga boleh menikmati jenis hidangan lain seperti sajian Barat antaranya chicken chop, fish and chips, ais kacang aiskrim, tauhu bakar dan masakan goreng lain.

Sekiranya berhasrat mencuba nasi ayam di Restoran Nasi Ayam Special di Jalan Bachang ini bersama keluarga, jangan lupa memesan sup sayur dan telur dadar.

Ia pelengkap hidangan dengan minuman selain jus buah, anda juga boleh mencuba ais kacang aiskrim yang paling digemari oleh pelanggan ke restoran itu.

Penulis sukar untuk menggambarkan keenakan nasi ayam di sini menerusi catatan. Datanglah untuk merasainya sendiri.

TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

Thursday, March 17, 2011

Nasi Ayam Di Kuantan


Restoran Monrods kini temui peminat nasi ayam di Kuantan


Restoran Monrods di Jalan Mahkota, Kuantan menyediakan pelbagai resipi nasi ayam untuk dinikmati pelanggan pada waktu petang atau malam.

KUANTAN 17 Mac - Sebut sahaja nama Monrods pasti ada menyangka premis perniagaan tersebut menyediakan masakan ala barat atau pun diusahakan oleh orang bukan Melayu.

Terletak di lokasi strategik di Jalan Mahkota, di tengah pusat bandar ini Restoran Monrods dimiliki oleh dua sahabat, Rosli Rashid dan Roslan Zainol Abidin.

Restoran itu menyediakan gabungan menu, tradisional Melayu, ala timur dan barat.

Berkonsepkan moden kontemporari dengan menggabungkan warna merah dan putih pastinya membuat pengunjung terpegun dengan hiasan dalaman yang bertemakan gaya, rasa serta keriangan.

Kini restoran yang beroperasi di Lembah Klang turut mendapat perhatian Koperasi Pegawai-Pegawai Kerajaan Pahang (KPKP) apabila berminat menjadi francaisi bagi mengembangkan aktiviti perniagaan koperasi tersebut di Jalan Mahkota di bandar ini.

Pengarah Urusan Monrods, Roslan berkata, inilah kali pertama sebuah koperasi tertua di negeri ini berminat bekerjasama dengan pihaknya membuka restoran itu di sini.

Menurutnya, menu dihidangkan menepati cita rasa semua golongan yang berbilang bangsa serta harga yang ditawarkan adalah berpatutan.

Jelas beliau, antara hidangan menjadi pilihan pengunjung adalah kepelbagaian nasi ayam seperti Nasi Ayam Di Istana yang menyajikan ayam goreng berempah menggunakan rempah ratus terpilih.

''Terdapat juga Nasi Ayam Di Madu, Nasi Ayam Di Panggang serta Nasi Ayam Di Hainan dan pengunjung boleh membuat pilihan mengikut selera masing-masing," katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru- baru ini.

Selain nasi ayam, Restoran Monrods juga menyediakan hidangan ala Barat termasuk stik daging kambing dan ayam, spageti, emping kentang serta pelbagai lagi.

Lebih istimewa katanya, Monrods menyajikan menu tradisional Melayu iaitu ubi kayu rebus yang dimakan bersama sambal ikan bilis dan kelapa parut.

''Selain itu hidangan makan ringan lain adalah mi rebus, cucur kodok, cucur ikan bilis dan cucur keledek," katanya.

Tambah Roslan, sambil menikmati hidangan, pengunjung akan dihiburkan dengan persembahan kumpulan muzik bagi memenuhi cita rasa pengunjung yang terdiri daripada pelbagai peringkat usia.

''Bagi mereka yang ingin mengadakan majlis-majlis keraian seperti sambutan hari lahir dan sebagainya, kami turut menyediakan ruang yang boleh menempatkan seramai 200 tetamu pada satu-satu masa," katanya.

Beroperasi setiap hari dari pukul 11 pagi sehingga 12 malam, Restoran Monrods sedia menerima tempahan pelbagai majlis keraian dengan berhubung pihak pengurusan atau menghubungi di talian 09-5030607.

TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

Friday, March 11, 2011

Cara Buat Sos lada Hitam


Sos lada hitam, piza


Sos lada hitam

Soalan:

SAYA memang minat stik. Saya dah cuba membuat kedua-duanya tetapi masalahnya tentang penyediaan sosnya yang kurang sedap walaupun saya ikut seperti dalam buku masakan. Boleh chef bagi tip yang betul cara membuatnya atau ada bahan lain yang perlu ditambah?

ABDULLAH THANI,

abdullah1963@ymail.com.

Jawapan:

Sos black pepper menggunakan asas stok iaitu stok perang yang dimasak secara perlahan-lahan sehingga isipadunya menjadi setengah. Stok perang ini kemudian digunakan pula untuk membuat sos perang yang dikenali sebagai demi glace.

Demi glace merupakan konsentrasi stok perang tadi dan digunakan untuk membuat pelbagai jenis sos dan antaranya adalah sos lada hitam (blackpepper sauce). Untuk menyediakan stok perang anda memerlukan tulang lembu (anda boleh juga menggunakan tulang lain selain tulang lembu), lobak merah, bawang merah, seleri, tomato puri, tepung dan herba campuran yang dipanggang sehingga keperangan dan kemudian direbus.

Masa merebus perlulah lama supaya rasa daging dapat diekstrak. Masa merebus boleh mengambil masa lebih dari satu jam bergantung kepada berapa banyak stok yang ingin anda sediakan.

Teknik membakar juga perlu betul. Anda perlu membakar sehingga semua bahan betul-betul menjadi perang gelap tetapi tidaklah sampai menjadi hangus. Hasilnya, stok anda akan menjadi perang gelap. Warna inilah yang diingini dalam penyediaan stok perang. Oleh itu apabila anda menggunakan stok, warna demi glace anda tidak menjadi pudar.

Saya telah mengubah suai sedikit proses dan bahan-bahan yang digunakan agar proses dan masa membuat black pepper sauce menjadi lebih mudah dan singkat. Untuk pengetahuan saudara, saya pernah berkongsi resipi membuat sos piza dalam keluaran yang lalu.

TAJUK-TAJUK BERITA LAIN: