Thursday, November 3, 2011

menu 1malaysia

Restoran Menu Rakyat cepat popular


Sebahagian pelanggan yang kebanyakan pelajar Politeknik Melaka tidak melepaskan peluang merasa makanan Menu Rakyat 1Malaysia selepas majlis pelancaran menu tersebut di Melaka, semalam.


MELAKA 3 Nov. - Jika inginkan makanan murah pada harga berpatutan hanya restoran yang menyertai program Menu Rakyat 1Malaysia adalah tempat yang menjadi tujuan.
Mana-mana restoran atau kedai makan tidak mampu menawarkan harga paling rendah bagi sarapan pagi dan makan tengah hari melainkan yang menyertai program tersebut.
Usaha kerajaan melalui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan memperkenalkan program Menu Rakyat 1Malaysia ke seluruh negara setakat ini mendapat sambutan luar biasa daripada orang ramai.
Siapa sangka dengan hanya membayar semurah RM6, orang ramai boleh menikmati sarapan pagi dan makan tengah hari di mana-mana restoran, kedai makan atau kafetaria yang menyertai program tersebut.
Pernahkah terbayang dengan hanya membayar RM2 untuk sarapan pagi, anda boleh menikmati roti telur dan teh tarik dan makan tengah hari dengan nasi, satu ketul ayam serta air limau ais hanya pada harga RM4.
Bagi mereka yang pertama kali menjejakkan kaki di restoran atau kedai makan itu pastinya terkejut dengan kadar harga yang ditawarkan kerana ia tidak terdapat di tempat lain.
Program itu diadakan bagi mengurangkan bebanan rakyat terutama dalam suasana kenaikan harga barangan global ketika ini serta memudahkan mereka menikmati sarapan pagi dan makan tengah hari pada harga yang cukup murah.
Bagi restoran yang menyertai program ini, mereka akan didaftarkan di bawah program Menu Rakyat 1Malaysia dan nama restoran terbabit disenaraikan di portal Pengguna 1Malaysia Bijak.
Dianggarkan 1,000 buah restoran dan kedai makan di seluruh negara menyertai program tersebut.
Di negeri ini, sebanyak 40 buah restoran di Melaka Tengah, Alor Gajah dan Jasin tidak terkecuali menyertai program tersebut.
Pengerusi Jawatankuasa Pengangkutan, Penerangan, Perpaduan dan Pengguna, Datuk Ghazale Mohamad berkata, sejak program itu dilancarkan, ia mendapat sambutan yang menggalakkan bukan sahaja daripada pemilik restoran di negeri ini tetapi juga di kalangan orang ramai.
Menurutnya, daripada maklum balas yang diterima daripada kesemua pengusaha restoran dan kedai makan yang menyertai program tersebut, mereka melahirkan rasa gembira kerana kedatangan orang ramai yang di luar jangkaan.
''Mereka akui walaupun margin keuntungan mungkin sedikit tetapi mereka tetap mendapat pulangan yang cukup memberangsangkan selain jualan harian turut meningkat.
''Bagi orang ramai pula rata-rata yang ditemui oleh kakitangan Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan melahirkan rasa gembira dengan usaha kerajaan memperkenalkan program Menu Rakyat 1Malaysia," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan program Menu Rakyat 1Malaysia di Restoran Berkat, Plaza Pandan Malim di sini hari ini.
Ghazale berkata, orang ramai menyambut baik usaha kerajaan itu memperkenalkan program tersebut kerana ia secara tidak langsung dapat membantu golongan berpendapatan rendah menikmati sarapan pagi dan makan tengah hari pada harga yang cukup murah.
Menurutnya, pihaknya menyasarkan sebanyak 80 premis kedai makan dan kafetaria akan menyertai program ini sehingga hujung tahun ini.
''Mana-mana restoran yang berminat secara sukarela boleh menyertai program ini kerana ia terbuka kepada semua pengusaha,"ujarnya.
Lebih penting katanya, semua pengusaha terbabit akan dibantu oleh PPDNKK untuk mempromosi premis mereka melalui laman portal 1Pengguna.com, facebook dan media massa bagi menyalurkan maklumat kepada pengguna di negeri ini.
Bagaimanapun katanya, pengusaha premis tidak terkecuali untuk mematuhi peraturan untuk menjaga kebersihan dan beretika dalam menguruskan perniagaan melalui program tersebut.
Ujarnya, bahagian penguat kuasa PPDNKK akan memantau semua premis terbabit agar mematuhi arahan menyediakan sarapan dan makan tengah hari pada harga RM6.
Katanya, sebarang aduan dan pertanyaaan, orang ramai boleh menghubungi PPDNKK melalui email: e-aduan@kpdnkk.gov.my atau talian 06-2345822/5825 atau talian bebas tol 1-800-886-800.
Sementara itu pemilik Restoran Berkat, Hamidee Khamis, 35, berkata, beliau tidak menyangka restorannya dipilih untuk menyertai program tersebut.
''Restoran saya dipilih oleh PPDNKK kerana makanan yang dijual di sini pada harga yang berpatutan selain soal faktor kebersihan premis ini," ujarnya.
Menurutnya, sejak menyertai program Menu Rakyat 1Malaysia, restoran ini dikunjungi orang ramai dan boleh dikatakan menjadi sesak pada waktu tengah hari.
Usaha kerajaan itu katanya, disifatkan sebagai langkah yang tepat kerana ia secara tidak langsung dapat membantu peniaga meningkatkan hasil jualan berbanding sebelum ini.
''Saya rasa syukur program ini banyak membantu saya meningkatkan pendapatan harian walaupun harga sarapan pagi hanya RM2 dan makan tengah RM4, tetapi pulangan cukup memberangsangkan," ujarnya.
Katanya, pihaknya menawarkan 5 pakej sarapan pagi pada harga RM2 iaitu kuih dua set, roti kosong, roti telur, roti bakar, mi, kuetiau dan bihun goreng dengan dua minuman pilihan teh tarik atau kopi.
Bagi makan tengah hari pula menawarkan dua pakej iaitu nasi, sayur, ikan goreng dan kuah manakala bagi pakej kedua pula dengan nasi, sayur dan satu ketul ayam bersama tiga minuman pilihan iaitu air limau ais, bandung atau jagung.

1 comment: