Saturday, November 26, 2011

restoran binjai

Nasi dagang asli guna beras perang
Oleh ANIZA ZAINUDIN
anizazainudin@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

TERLETAK di kawasan kejiranan yang majoritinya berbangsa Cina, Restoran Binjai milik Bumiputera yang mengkhusus masakan negeri Pantai Timur seperti nasi dagang dan nasi kerabu, berjaya menarik kedatangan pelanggan tidak kira dekat mahu pun jauh.

Memulakan operasi seawal jam 7.30 pagi hingga 12 tengah malam setiap hari, Restoran Binjai menawarkan pelbagai menu mengikut masa sama ada sarapan, tengah hari dan malam.


Menurut pemiliknya, Wan Zaharah Wan Idris, pembahagian hidangan mengikut masa tertentu bertujuan mewujudkan keunikan bagi Restoran Binjai yang berusia empat tahun itu.

Bertempat di Bandar Utama, Petaling Jaya, restoran yang diuruskan Wan Zaharah bersama ahli keluarga ini menawarkan pelbagai jenis masakan enak, antara sajian yang disarankan penulis ialah nasi dagang dan nasi kerabu ayam percik.


Walaupun mengambil pendekatan menetapkan jenis hidangan untuk masa tertentu, dua menu utama ini dikecualikan berikutan permintaan sentiasa ada biarpun pada waktu petang.


“Berdasarkan maklum balas dan permintaan pelanggan, kita mendapati dua menu utama ini sentiasa menjadi pilihan mereka, terutama individu berasal dari Pantai Timur, namun ia tidak bermaksud tiada penggemar daripada negeri lain.

“Menurut pelanggan, keenakan nasi dagang di sini berbeza dengan restoran lain yang pernah mereka kunjungi, terutama kelembutan dan warna sebenar hidangan popular Terengganu itu.


“Bagi memastikan keaslian nasi dagang, kita hanya menggunakan beras perang yang sememangnya khas untuk memasak menu itu dan tidak dicampur bersama beras seperti dilakukan segelintir pengusaha,” katanya.

Penggunaan beras perang membuatkan rasa nasi dagang lebih asli dan pelanggan seolah-olah berada di negeri asalnya, lebih lazat jika dimakan bersama kari ayam atau ikan tongkol.


Menariknya, bagi mengekalkan tekstur lembut ikan tongkol dan ayam, Restoran Binjai terlebih dulu merebus bahan berkenaan manakala air rebusan menjadi sumber utama untuk menghasilkan kuah enak.


Bagi pencinta masakan Kelantan, restoran yang dinamakan sempena Mukim Binjai, Badang, seharusnya tersenarai sebagai lokasi pilihan, tambahan pula pemiliknya sememangnya berasal daripada negeri Cik Siti Wan Kembang itu.


Menawarkan empat jenis nasi kerabu termasuk ayam goreng, daging bakar dan ayam percik bersama solok lada serta kelapa parut, pelanggan boleh membuat keputusan mengikut selera masing-masing.


Keistimewaan nasi berwarna biru dihiasi ulaman kampung keluaran Restoran Binjai, ia dimasak secara tumis bersama lengkuas, halia, serai dan daun limau purut, sekali gus menerbitkan aroma lazat.


Untuk menghasilkan warna kebiru-biruan yang menjadi lambang nasi kerabu, Wan Zaharah tidak menggunakan produk pewarna di pasaran, sebaliknya lebih selesa dengan cara tradisional menjadikan bunga telang sebagai bahan utama.


Bagi sarapan, restoran yang mampu memuatkan 80 orang pada suatu masa menawarkan pilihan sajian seperti roti canai rangup, nasi lemak selain dua menu utama.


Hidangan tengah hari pula, aneka jenis masakan kampung termasuk gulai lemak ikan masin, sambal keli serta gulai kawah.


Masakan panas pula bermula jam 4 petang menyajikan hampir 30 menu, antaranya tom yam, sup, nasi goreng paprik, nasi goreng USA, mi hailam, kuetiau ladna, ayam masak merah dan daging masak kicap.

No comments:

Post a Comment