sajian istimewa Kelantan dan asam pedas
|
|
MENGAMBIL kira hidangan asam pedas semakin digemari ramai walaupun di Pantai Timur, Restoran Emas 10 Perak 10 turut menawarkan menu itu kepada para pengunjung.
Apatah lagi percaturan selepas memperkenalkan menu asam pedas siakap sepanjang Ramadan mendapat sambutan menggalakkan, tentunya Pengurus restoran, Abdul Halim Ismail mahu hidangan itu terus dinikmati.
Namun asam pedas bukan satu-satunya masakan tradisional yang ditawarkan di situ, menu yang menemui pengunjung kembali kepada ‘akar’ Kelantan iaitu nasi, ulam, sambal belacan dan budu, selain makanan tradisi seperti singgang daging.
“Sebelum ini, kita hanya menyediakan masakan panas dan keistimewaan kita adalah masakan Barat serta Thai. Bermula September lalu, kita menyediakan bufe makan tengah hari dengan pelbagai jenis ulam dan lauk pauk seperti singgang daging.
‘‘Semua menu itu sesuai dengan selera masyarakat negeri ini,” katanya.
Pada masa yang sama, Restoran Emas 10 Perak 10 tidak melupakan asasnya iaitu makanan Barat seperti chicken chop dan stik.
Menu istimewa iaitu Nasi Goreng Emas 10 Perak 10 yang dihidangkan dengan daging goreng dan telur goreng turut diketengahkan.
Harga untuk sepinggan Nasi Goreng Emas 10 Perak 10 adalah RM6, manakala chicken chop RM7.
Terletak di kawasan Medan Selera Arked Perbadanan, Jalan Che Su, Kota Bharu, restoran itu berjaya mencuri perhatian orang ramai kerana dekorasi yang menarik berkonsepkan hitam dan putih.
Kreativiti pemiliknya berjaya mengubah dua gerai di medan selera itu menjadi sebuah restoran yang unik, di samping susun atur kerusi serta meja yang selesa bagi ‘penggemar lepak’ di kedai kopi.
“Kita menggabungkan dua elemen iaitu keenakan makanan dan dekorasi yang membuat pengunjung merasa santai untuk terus datang ke sini lagi,’’ kata Abdul Halim.
Tentunya ramai yang bertanya tentang susur galur nama restoran itu yang menurut pengurusnya ada kaitan dengan perniagaan emas dan perak yang diusahakan di situ.
“Arked ini adalah kawasan tukang emas dan perak berkumpul. Idea ini timbul daripada pemilik restoran supaya pelanggan yang datang, di samping makan mereka juga dapat membeli barang kemas,’’ katanya.
No comments:
Post a Comment