Sunday, November 6, 2011

sajian baba

Nostalgia sajian Baba Nyonya


Balang kaca dan botol-botol lama menjadi hiasan yang menarik.


NAMANYA dipetik daripada sebuah jalan yang terletak di bandar Melaka. Jalan Tengkera atau dulunya dieja sebagai Tranquerah, bermaksud sebuah kubu pertahanan yang damai dalam bahasa Portugis .
Sedamai berada di dalamnya, dekorasi restoran ini turut mengambil inspirasi daripada apa yang terdapat di sepanjang jalan tersebut.
Idea itu diterjemahkan dengan penuh kreatif oleh pemiliknya, Alan Yun, pelakon dan model popular tanah air.
Daripada pemilihan perabot hingga kepada hiasan-hiasan kecil lama seperti botol, kalendar, bingkai gambar dan banyak lagi segalanya mengembalikan nostalgia suasana Jalan Tengkera.
"Saya turut masukkan unsur-unsur budaya masyarakat Baba dan Nyonya Melaka. Sebagai contoh, siling ini sebenarnya adalah pintu rumah tradisional Baba dan Nyonya yang terdapat di sepanjang jalan tersebut.
"Bukan itu sahaja, suis elektrik ini juga seperti yang terdapat pada zaman dahulu," ujarnya yang ditemui di restorannya di Red Carpet Avenue, Kota Damansara, Petaling Jaya, Selangor.
Menariknya melalui restoran The Tranquerah itu, Alan mengenengahkan resipi tradisi Baba dan Nyonya 100 peratus daripada chef terkenal, Florence Tan.
Kebetulan Florence yang berketurunan Baba dan Nyonya juga berasal dari Jalan Tengkera.
"Setiap masakan di sini tidak mengandungi perisa tambah sebaliknya bagi menambah keenakan, chef Florence menggunakan lebih rempah-ratus.
"Ada komen yang kami peroleh daripada pelanggan mengatakan masakan di sini seakan makan di rumah, malah lebih sedap lagi," kata Alan.
Menurutnya, antara menu mesti cuba di sini ialah ayam buah keluak yang cukup unik dari segi penyediaannya.
Ini kerana bagi yang kurang mahir tentang cara memasak buah keluak ia boleh menyebabkan keracunan.
"Untuk menyediakan ayam buah keluak, kita hanya menggunakan buah yang elok saja kerana jika ada walau sebiji pun yang rosak, seluruh periuk terpaksa dibuang.
"Apa pun rasa masakan ini unik dan sedap, lain daripada yang lain," katanya jelas Alan yang kini sedang sibuk dengan penggambaran filem arahan Shuhaimi Baba.
Selain itu pengunjung juga tidak harus melepaskan peluang menjamah sotong goreng rangup, terung goreng sambal, kangkung lemak keledek, ikan cencaru sumbat, udang masak petai dan sebagainya yang memang menyelerakan apabila dimakan bersama nasi panas.
Untuk pemanis mulut pula, The Tranquerah menyediakan bubur cha-cha dan cendol yang menggunakan gula Melaka asli bagi menyerlahkan rasanya.
Menurut Alan, kesemua sajian disediakan oleh dua chef berpengalaman yang dibantu empat pembantu dapur yang akan memastikan pelanggan tidak menunggu lama untuk menikmati hidangan diingini.
The Tranquerah dibuka setiap hari dari pukul 11 pagi hingga 11 malam

No comments:

Post a Comment