Thursday, November 10, 2011

beijing

Makan Malam Pertama di Beijing

Perjalanan saya dari Kuala Lumpur ke Beijing mengambil masa penerbangan sekitar 6 jam melewati jarak lebih 4,000 km melalui udara. Tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Beijing, ambil beg, terus keluar, tiada sebarang masalah, dan semua urusan berjalan lancar.
Pegawai China Radio International (CRI) bahagian Perkhidmatan Bahasa Melayu, Chang Shan atau nama Melayunya Puspa sedia menunggu untuk membawa saya ke hotel Mercure Wanshang di bahagian timur bandaraya Beijing.
Van yang membawa saya serta wakil media Vietnam dan Filipina yang tiba lebih awal memecut laju melalui lebuhraya lingkaran ke-6 Beijing.
Sampai di hotel, perkara pertama yang diperiksa ialah sambungan Internet. Alhamdulillah ada dan percuma untuk tetamu hotel, tetapi malangnya saya gagal mengakses Facebook (yang rupa-rupanya memang disekat di China).
Puspa cuba untuk mengaturkan makan malam yang halal untuk saya, tetapi memandangkan kawasan sekitar hotel tidak ada restoran halal, lalu timbul idea untuk membawa saya makan malam di rumah salah seorang rakan sepejabatnya yang berbangsa Melayu.

Rupa-rupanya CRI bahagian bahasa Melayu memang mempunyai tiga kakitangan Melayu dari Malaysia iaitu Puan Noraini yang dipinjam dari RTM, Puan Nelawati yang dipinjam dari DBP dan Farah.
Malam itu saya langkah kanan kerana Puan Nelawati sudi menjadi tuan rumah mengadakan mini jamuan raya dengan hidangan istimewa rendang daging, sambil tumis udang, kerabu perut, ikan masak masam manis serta pulut kuning yang turut dibantu oleh Puan Noraini.
Kakitangan lain CRI bahagian bahasa Melayu juga turut serta bersama pengarahnya, Zhang Wenwen.
Majlis kecil itu juga istimewa kerana turut meraikan hari jadi Puan Noraini.
Kemesraan sesama mereka yang semua fasih berkomunikasi dalam bahasa Melayu membuatkan saya tersenyum memikirkan keindahan bahasa sendiri dan kesungguhan negara China membangunkan dan memperkenalkan negaranya kepada bangsa-bangsa lain di dunia melalui bahasa masing-masing.
Seperti kata Puspa, CRI ibarat PBB dengan pakar-pakar asing dari seluruh dunia berkerja dalam satu tempat.

No comments:

Post a Comment