Enaknya cendol pulut tapai
Oleh YATIMIN ABDULLAH
utusankelantan@utusan.com.my
SEBUT sahaja cendol pulut tapai yang dijual di pekarangan Stadium Sultan Muhammed 1V, Kota Bharu, Kelantan pasti ramai yang akan menelan air liur.
Ini kerana resipi minuman ala makanan yang diusahakan Ilias Mamat, 45, sejak 40 tahun lalu mempunyai keenakan tersendiri sehingga pelanggan yang menikmatinya sekali, pasti ingin mencuba untuk kali kedua dan seterusnya.
Resipi cendol pulut tapai ciptaan Allahyarham bapanya, Mamat Mat Amin itu sehingga kini menjadi tarikan pelanggan dari dalam dan luar negeri sehingga menjadi sebutan ramai.
Gerai yang dibuka dari pukul 10.30 pagi sehingga 5.30 petang itu menjadi pilihan kakitangan kerajaan, swasta, pelajar sekolah dan ahli perniagaan untuk membasahkan tekak dan menghilangkan dahaga ketika cuaca panas terik.
Menurut Ilias, waktu tengah hari dan petang ketika warga kerja pulang ke rumah, merupakan masa paling sibuk di gerainya menyebabkan dia tidak menang tangan melayan pelanggan, sehingga terpaksa meminta dua adiknya membantu.
Ditanya tentang perniagaannya itu, Ilias memberitahu, semasa berumur 10 tahun lagi dia selalu membantu arwah ayahnya berniaga selepas waktu persekolahan.
"Pada masa itu, harga cendol pulut tapai hanya 15 sen semangkuk dan harga ditawarkan kini adalah RM2.
"Formula saya untuk mendapatkan cendol pulut tapai yang sedap ialah kesemua bahan seperti cendol, santan, manisan gula melaka, tapai, durian dan biji selasih mestilah yang baharu," katanya ketika ditemui S2.
Menurutnya, untuk menambahkan lagi keenakan cendol pulut tapai, dia mencampurkan durian bersama manisan gula melaka agar lebih pekat dan menyelerakan.
Gerai cendol pulut tapai Ilias dibuka setiap hari kecuali pada hari Jumaat dan ketika cuaca hujan.
Dia juga sedia menerima tempahan untuk majlis-majlis perkahwinan, majlis korporat, rumah terbuka, hari keluarga, kursus, seminar dan mesyuarat.
"Saya sentiasa memastikan cendol pulut tapai sentiasa bersih, segar dan berkualiti serta lazat untuk dinikmati di samping mengekalkan resipi asli yang diperkenalkan semenjak 1971 lagi," ujarnya.
No comments:
Post a Comment