Sunday, September 2, 2012

mee udang ledang

Mi udang terbaik dari Ledang
NOR ‘ASYIKIN MAT HAYIN
3 September 2012
Mi udang terbaik dari Ledang
Bersama pekerja dan suami, Hishamuddin Mohd Yusof (tiga, kanan) di hadapan restorannya.
Mi udang terbaik dari Ledang
Rosidah bersama suaminya menunjukkan Mi Udang Banjir biasa dan istimewa.
PENGGEMAR Mi Udang Banjir di selatan tanah air kini tidak perlu lagi ke Pulau Pinang, Perak dan Kuala Selangor semata-mata untuk menikmati sajian enak ini kerana hidangan lazat itu sudah terdapat di daerah Ledang.

Walaupun penduduk di daerah Muar dan Ledang cukup sinonim dengan sajian seperti Mi Bandung, Mi Rebus, dan Asam Pedas , namun keenakan Mi Udang Banjir ini boleh membuka selera ramai.


Berjaya menambat selera sesiapa sahaja

Menariknya, sajian ini ‘dibanjiri’ banyak udang sehingga menutupi mi dan kuah sekali gus membuatkan sesiapa sahaja terliur serta mahu mencubanya.

Bagi mereka yang mahu mencuba hidangan ini, pastinya akan beranggapan rasa Mi Udang Banjir sama seperti Mi Bandung berikutan pembuatan kuah sajian berkenaan yang sepenuhnya berasaskan udang,

Bagaimanapun, selepas mencubanya, orang ramai pasti dapat merasai kelazatan dan perbezaan hidangan Mi Udang Banjir ciptaan Rosidah Azhar, 40, dengan Mi Bandung.

Dekorasi ringkas Mi Udang Banjir dengan sedikit sayur kangkung yang diletakkan dan ditambah dengan ‘kemeriahan’ timbunan udang menjadikan sajian ini sangat menarik sekali gus memikat selera pengunjung.


Harga berbeza mengikut saiz

DISEDIAKAN dalam saiz biasa berharga RM6.50 sepinggan dan RM12 untuk saiz istimewa, perbezaan hanya dapat dilihat pada udang yang diletakkan. Tiga udang besar akan diletakkan untuk sajian istimewa, manakala 10 ekor udang segar sederhana bagi saiz Mi Udang Banjir biasa.

Lebih menyelerakan jika sajian ini diminum bersama air buah-buahan segar seperti epal, oren dan limau kasturi yang dipercayai mampu mengurangkan masalah alahan udang kepada mereka yang menghidap masalah berkenaan.


Cipta resepi tersendiri

CUBAAN berani anak kelahiran Sabak Bernam, Selangor itu untuk memperkenalkan makanan baru di daerah ini ternyata tidak sia-sia apabila mendapat sambutan di luar jangkaan daripada penduduk setempat dan pengunjung dari seluruh negeri ini sejak dua tahun mengusahakan perniagaan berkenaan.

Rosidah yang merupakan pengemar Mi Udang Banjir  mengakui tidak akan melepaskan peluang untuk menikmati makanan kegemarannya setiap kali pulang ke kampung halaman di Selangor.

Justeru, menurutnya, timbul idea untuk memperkenalkan hidangan berkenaan di Ledang dan Muar, tetapi menggunakan resipinya tersendiri bagi mewujudkan rasa yang berlainan dengan Mi Udang Banjir sedia ada.


Kepuasan pelanggan jadi keutamaan

SEHINGGA ke hari ini, resepi kuah Mi Udang Banjir sentiasa diperbaiki untuk menjadikannya yang terbaik demi kepuasan pelanggan.

“Mi Udang Banjir sesuai dimakan semua peringkat umur kerana rasanya tidak pedas, tetapi bagi mereka yang mahukan lebih pedas, saya akan memenuhi permintaan mereka,” katanya yang memasak sendiri setiap menu yang dipesan pelanggan,” katanya.

Rosidah berkata, dia sentiasa bersikap terbuka  menerima sebarang komen daripada pelanggan terhadap rasa Mi Udang Banjirnya dan menganggapnya sebagai teguran positif untuk melariskan lagi perniagaan yang diusahakan.

Beroperasi dari  jam 12 tengah hari hingga 12 tengah malam, orang ramai boleh berkunjung ke restoran tersebut yang terletak di Jalan Tanjung Agas, Ledang, untuk menikmati sendiri keenakkan Mi Udang Banjir terbaik dari Ledang.

No comments:

Post a Comment