Sunday, August 19, 2012

kulit kerbau

Keenakan kulit kerbau salai


WALAUPUN penyediaannya leceh, hidangan jangek merupakan menu istimewa di Kampung Lukut.


DAGING kerbau sememangnya digemari di Kampung Lukut dan Kampung Bukit Lintang, Kota Tinggi, Johor. Ia disifatkan lebih pejal, lebih manis dan tidak berbau seperti daging lembu ternak.
Tidak hairanlah permintaan daging kerbau di kampung itu tidak pernah menyusut. Malah, setiap kali Syawal, hampir semua rumah akan menyediakan rendang kerbau dan lemang sebagai juadah istimewa Aidilfitri.
"Bila tiba sahaja bulan puasa, kami akan keluar memburu kerbau bertuan yang hidup meliar pinggir di kampung ini. Permintaan terhadap daging kerbau liar memang tinggi di kampung ini, malah orang luar juga sudah pandai mencari daging kerbau setiap kali raya tiba.
"Masa itu, bukan sahaja daging, semua bahagian kerbau akan habis terjual. Daripada tanduk, tulang, kepala, kulit, tidak ada yang tertinggal," ujar pemburu kerbau liar, Nurul Hisham Norden atau Dodot.
Selain rendang kerbau dan kerbau salai masak lemak cili api, jangek adalah menu berasaskan kerbau yang menjadi signatur kampung itu.
"Jangek adalah kepingan kulit kerbau yang dibakar, dikikis dan diketuk berulang kali sehingga bersih daripada bulu-bulu.
"Selepas itu, ia akan disalai beberapa hari sehingga kering dan keras. Kemudian, kepingan itu diketuk menggunakan tukul besi sehingga warnanya yang hitam menjadi kekuningan.
"Apabila hendak dimasak, ia direbus terlebih dahulu sehingga lembut dan warna bertukar menjadi lut sinar seperti agar-agar.
"Setelah lembut, sejukkan terlebih dulu sebelum dipotong kecil-kecil dan sedia untuk dimasak," ujar Sareh Soho, 67.
Tambah isterinya, Sapiah Mohd. Yusof, 63, jangek enak dimasak lemak cili api bersama labu manis ataupun ubi kayu.
"Kalau suka, jangek juga boleh dimasak dengan rebung. Penyediaannya memang rumit, tetapi rasanya yang lembut tetapi sedikit kenyal sungguh enak.
"Malah, setiap kali ada rewang sempena kenduri kahwin ataupun anak-anak berkumpul sempena raya, mereka pasti meminta saya menyediakan hidangan jangek masak lemak cili api.
"Bagi yang pertama kali menikmatinya, pasti akan mencuba untuk kali kedua. Malah, besan saya dari Pulau Pinang turut menggemari hidangan ini," ujar ibu kepada 12 cahaya mata ini.
Kedua-dua kampung ini yang terletak kira-kira 10 minit perjalanan dari bandar Kota Tinggi, Johor memang kaya dengan keunikan budaya dan adat warisannya.
Ia dibuka pada tahun 1890 oleh Raja Lajim Raja Syed yang merupakan waris keturunan Raja Melewar dari Negeri Sembilan yang berhijrah dari Lukut di Port Dickson, Negeri Sembilan bersama lapan lagi saudaranya.
Biarpun sudah 122 tahun berlalu, warisan Minangkabau dan adat Perpatih masih diamalkan di negeri Johor yang mengamalkan adat Temenggung hingga ke hari ini.
Paling ketara, gaya percakapan penduduk di kampung ini yang menuturkan loghat asli Negeri Sembilan cukup untuk membuatkan orang luar yang bertandang ke sini beranggapan mereka berada di Negeri Sembilan, bukannya di Johor.

No comments:

Post a Comment