Keaslian rasa gulai tempoyak ikan patin SZ Rahmah
SEMASA Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) kawasan Kerdau, Pahang pada Februari tahun lalu, negara digemparkan dengan cerita sensasi mengenai harga gulai tempoyak ikan patin Temerloh berharga RM13,000 untuk hidangan 56 orang.
Walaupun cerita tersebut tidak tepat ekoran salah faham tetapi ia memberi gambaran kurang baik terhadap imej peniaga makanan di sekitar Temerloh.
Namun di sebalik berita sensasi itu, ia memberi impak positif apabila secara tidak langsung telah meningkatkan populariti ikan tersebut sebagai hidangan istimewa di daerah Temerloh.
Sejak itu, minat orang ramai untuk menikmati keenakan gulai tempoyak ikan patin telah bertambah, menyebabkan permintaannya meningkat berkali ganda.
Namun begitu, tidak semua peniaga makanan di bandar ini mampu menyediakan masakan gulai tempoyak ikan patin bagi memikat selera orang ramai terutama untuk memuaskan hati 'penggemar tegar' ikan tersebut.
Daripada ratusan restoran dan gerai yang menjual masakan berkenaan, hanya beberapa peniaga sahaja yang dikatakan mampu menyediakan masakan yang boleh memenuhi kehendak golongan berkenaan.
Mereka begitu pakar sehingga dapat membezakan yang mana satu ikan patin diternak di dalam kolam, sangkar ataupun patin liar yang juga dikenali sebagai 'patin ori' daripada spesies patin buah dan patin muncung di Sungai Pahang.
Salah sebuah restoran yang dimaksudkan adalah Restoran SZ Rahmah yang terletak di Batu 3, Jalan Temerloh - Kuantan, bersebelahan Stesen Minyak BHP.
Masakan gulai tempoyak ikan patin di restoran milik Siti Zainon Zakaria, 74, itu mula dibuka sejak awal tahun 1980-an lagi, dan ia begitu sinonim di kalangan penggemar tegar yang ingin menikmati keenakan ikan patin buah atau patin muncung.
Semasa ditemui S2, Siti Zainon memberitahu, beliau tidak mempunyai sebarang rahsia bagi menyediakan masakan ikan tersebut supaya terus kekal enak sejak dahulu sehingga hari ini, selain hanya menggunakan bahan-bahan terpilih dan bermutu sahaja.
"Saya membeli terus ikan patin buah dari nelayan dengan harga RM80 sekilogram dan setiap seekor dipotong empat dan kepala dibelah dua.
"Petua untuk mengekalkan rasa yang sedap, ikan patin ini jangan dipotong atau kerat ekornya kecuali buang durinya sahaja, dan perlu dicuci bersih dengan menggunakan limau nipis," kata Siti Zainon.
Harga masakan gulai tempoyak ikan patin buah pula adalah antara RM10 dan RM18 sepotong bergantung kepada saiz, kepala dan ekor ikan tersebut.
Selain ikan patin buah, kadang-kala beliau menjual masakan ikan patin muncung tetapi harganya lebih mahal kerana ikan itu sukar diperoleh, yang mana harganya kini sudah mencecah RM270 sekilogram.
Namun begitu katanya, bagi penggemar tegar, harga bukan lagi persoalan, yang penting adalah rasa yang sedap dan enak membuatkan mereka tidak begitu berkira kerana tahu menilai harga sebenar masakan tersebut.
Tambahnya, beliau juga menggunakan tempoyak yang dibuat khas dari pembekal di Kuala Lipis dengan harga RM1,400 untuk 80 kilogram dan mampu bertahan selama tiga bulan.
"Petua lain adalah saya menggunakan garam kasar, kunyit hidup yang dikisar dan lada panjang.
"Untuk masak tujuh ekor patin, saya menggunakan tiga kilogram tempoyak yang dikacau rata sebelum dimasukkan ke dalam periuk," kata Siti Zainon.
Selain gulai tempoyak, Restoran RZ Rahmah juga popular dengan hidangan sambal udang galah dan ayam goreng, di samping 25 lagi hidangan lauk-pauk lain.
Menurutnya, masakan gulai tempoyak ikan patin mula popular di kalangan orang luar kira-kira tujuh tahun lalu kerana sebelum ini ramai yang beranggapan ikan sungai itu kurang sedap dan berbau hanyir.
Sebenarnya, pandangan itu salah kerana selain patin, ikan sungai seperti kelah, tembalian, kerai, gahak dan tapah juga sedap dan membuka selera apabila disiang dan dimasak dengan cara yang betul.
Beliau juga sering menerima tempahan daripada penggemar dari Kuala Lumpur dan Genting Highlands, malah ramai juga pelanggannya datang dari Kuala Lumpur, Shah Alam, Klang dan Putrajaya semata-mata ingin menikmati gulai tempoyak ikan patin.
No comments:
Post a Comment