Monday, May 21, 2012

resepi ibu

ARKIB : 18/05/2012

Sajian resipi ibu

Nasi lemak Perak.
BERPELUANG merasai sendiri nasi lemak Perak, mi rebus Menara Condong, popia basah dan chicken chop, ternyata setiap satunya ini mempunyai sentuhan yang istimewa.
Sudah pasti kesemua menu ini mempunyai rasa yang berbeza antara satu sama lain bahkan tidak teragak-agak untuk menyatakan bahawa kesemuanya 'masuk' dengan selera masyarakat setempat.
Bagi mereka yang ingin menikmati sendiri kelainan rasanya, eloklah mengunjungi Nu-iN Little Perak.
Selain menyajikan makanan berdasarkan setiap daerah yang terdapat di negeri Perak, restoran ini pasti tidak akan mengecewakan anda.
Mengilhamkan nama kedai daripada nama bonda tersayang, menurut Pengarah Francaisnya, Shahruddin Dali, 47, Nu-iN Little Perak sememangnya menyajikan makanan menggunakan resipi ibunya, Nur Ain Cek Tak.
Tambah beliau, restoran tersebut merupakan perniagaan keluarga yang diuruskan mereka adik-beradik.
Ibu dan bapanya, Mat Dali Said bertindak sebagai penasihat kepada Shahruddin serta adik-beradik yang lain.
"Kami kesemuanya lapan beradik tetapi yang terlibat dalam perniagaan ini hanya lima orang.
"Menu-menu yang terdapat di Nu-iN Little Perak ini sememangnya diambil daripada resipi ibu kami sendiri kerana beliau sudah terlibat dalam perniagaan makanan sejak dahulu lagi.
"Memandangkan semasa berniaga di pekan Tapah sambutan yang diterima amat menggalakkan, kami sepakat untuk membuka sebuah restoran di Kuala Lumpur," ujarnya ketika ditemui di premis perniagaannya yang terletak di 22-G-01, Jalan Medan PB2A, Seksyen 9, Bandar Baru Bangi, Selangor, baru-baru ini.
Berbicara lanjut mengenai perniagaan makanannya itu, jelas Shahruddin lagi, walaupun buat masa ini baru mempunyai satu cawangan, kualiti rasa dan keenakan setiap menu yang disajikan sentiasa dijaga.
Ruang dalam restoran Nu-iN Little Perak yang santai dan selesa.
Untuk itu kesemua bahan serta rempah ratus telah disediakan terlebih dahulu di dapur utama.
Katanya lagi, dengan adanya dapur utama, mereka tidak perlu risau mengenai rasa setiap makanan yang disajikan kerana ia pasti terkawal.
Tidak dinafikan kesemua menu yang disajikan kepada pengunjung pastinya memenuhi cita rasa dan selera masyarakat setempat.
Selain menu-menu makanan Melayu seperti nasi lemak, nasi ayam, mi rebus, roti bakar, makanan bergoreng dan kuih muih, Nu-iN Little Perak turut memberi pilihan menu masakan Barat seperti chicken chop dan lamb shoulder.
Mengetengahkan konsep restoran keluarga, harga bagi setiap makanan juga dilihat berpatutan.
"Sebelum restoran ini dibuka, kami adik beradik telah berbincang mengenai menu serta harga yang harus dikenakan.
"Jadi kami telah sebulat suara ingin menjadikan Nu-iN Little Perak sebuah restoran keluarga selain pengunjung juga dapat menikmati hidangan dalam suasana yang santai.
"Untuk itu kami mensasarkan kepada golongan pertengahan dan disebabkan itulah harga yang kami kenakan juga adalah berpatutan serta tidak membebankan," katanya lagi.
Ulas Shahruddin lagi, keistimewaan Nu-iN Little Perak tidak hanya setakat itu malah menu-menu yang disediakan adalah mengikut cara tersendiri.
Cuba mencungkil kelainan yang dimaksudkan, beliau memberitahu kulit popia serta kaya yang disediakan dibuat sendiri dengan mengekalkan resipi tradisi.
Selain sos popia yang dihasilkan daripada resipi rahsia ibu sendiri, kaya yang dihidangkan di atas roti bakar panas pula diperbuat daripada telur itik.
Yang pasti, keistimewaan Nu-iN tidak hanya terletak kepada keenakan sajiannya malah pelbagai seleksi minuman enak turut dihidangkan bersama.
Dibuka setiap hari bermula 8.30 pagi hingga 12 tengah malam, Nu-iN menyediakan sarapan, makan tengah hari dan juga makan malam kepada para pengunjung.

No comments:

Post a Comment