Saturday, April 14, 2012

kafe taman

Kafe taman menghadap ikon negara


NZ Garden Kafe yang terletak di tengah-tengah ibu kota menjadi lokasi pilihan ramai untuk berkumpul dan bersantai bersama teman.


BERSANTAI di restoran atau kafe untuk menikmati makanan, berjumpa rakan-rakan dan meluang masa berkualiti bersama keluarga menjadi sebahagian daripada budaya rakyat Malaysia masa kini. Ia juga antara sebab mengapa Malaysia dilihat sebagai syurga makanan tanpa mengira waktu.
Terletak di rentangan jalan yang paling gah iaitu berhadapan mercu tanda Malaysia, Menara Berkembar Petronas, Restoran NZ Garden Cafe menjadi tumpuan hangat warga kota untuk melunaskan ritual urban mereka.
Menyediakan makanan 24 jam sehari, setiap hari, NZ Garden Cafe di Jalan Saloma, berhadapan Jalan Ampang itu menyediakan juadah yang pelbagai, baik menu tempatan hinggalah ke seleksi makanan Barat.
Walaupun berkonsep seperti restoran mamak yang lain, NZ Garden Kafe mempunyai kelainan dari segi lokasi, landskap, pilihan menu makanan dan kemudahan lain yang memudahkan para pelibur ibu negara khususnya pelancong asing.

PELANGGAN menjamu selera di NZ Garden Kafe berlatarkan menara berkembar KLCC.


Pemilik restoran tersebut, Mohd. Ali Hajar Maiden, 41, berkata, pengalaman dalam bidang penyediaan makanan sejak beberapa generasi telah membimbing beliau bersama rakannya untuk membuka restoran ala santai itu.
Menarik mengenai NZ Garden Cafe adalah dekorasi dalaman yang mengangkat aura kontemporari dengan latar warna perang gelap untuk dipadankan dengan konsep taman.
"Kami memilih elemen taman kerana di tengah-tengah Kuala Lumpur yang sesak dengan bangunan konkrit, saya percaya tumbuh-tumbuhan dapat memberikan suasana yang nyaman. Tambahan pula, memiliki ruang yang luas amat ideal untuk ia dihias dengan kehijauan alam semula jadi," kata Ali.
Membelanjakan kira-kira RM3 juta untuk bangunan dan rekaan dalaman, NZ Garden Cafe meliputi kawasan seluas 2,787 meter persegi.
Merupakan cawangan terbesar dalam rangkaian Restoran NZ berbanding yang sudahpun beroperasi lebih lama seperti di Wangsa Maju, Subang Jaya dan Gombak, Ali mengakui, rekaan dalaman memainkan peranan yang sama penting untuk menarik pelanggan selain keenakan hidangan.

SELAIN lengkap dengan pelbagai kemudahan, NZ Garden Kafe turut menyediakan pilihan makanan yang pelbagai.


Bagaikan sengaja mahu menggoda pengunjung dengan variasi sajian, kaunter makanan ditempatkan di pintu masuk utama restoran. Hidangan utama seperti nasi, ayam, daging dan sayur-sayuran turut 'diperagakan' di tengah-tengah ruang termasuklah kaunter masakan menu ala carte lain.
Sebagai menambah nilai, NZ Garden Cafe turut menyediakan beberapa kemudahan tambahan seperti surau, tandas, bilik berhawa dingin, tempat mencuci kereta dan sebuah kedai serbaneka. Tidak lama lagi, sebuah kaunter perkhidmatan pertukaran wang asing akan melengkapkan fungsi premis itu.
"Kami mahu mengoptimumkan kemudahan supaya pelancong mahupun pelanggan tempatan dapat segala-galanya di satu tempat," ujar Ali lagi.
Selain di Malaysia, Ali menyatakan, pihaknya sedang merancang membuka cawangan di Jakarta, Indonesia tidak lama lagi sebagai inisiatif bisnes masa hadapan. - NIZHA PERIASWAMY

No comments:

Post a Comment