MAKAN-MAKAN: Resipi turun-menurun
Oleh NORAINON OTHMAN
norainon@hmetro.com.my
JARANG ada yang menolak jika disuakan sate. Makanan tradisi beraroma itu cukup sinonim dan digemari orang kita. Malah, ia menjadi menu rebutan di kebanyakan jamuan.
Keenakan bahan yang diperap dengan rempah-ratus, dicucuk lidi dan dibakar, kemudian dimakan bersama timun, bawang mentah, nasi himpit dan sambal kacang cukup merangsang selera. Bagaimanapun, restoran yang mengusahakan sate sebagai menu utama boleh dibilang dengan jari.
Jika anda penggemar sate, kunjungilah Rasa-Rasa Satay di Prima Sri Gombak, Batu Caves, yang menyajikan pelbagai jenis sate. Restoran sate berkenaan mulanya dibuka di Kuantan tetapi berpindah ke lokasi baru kerana pasaran lebih tinggi dan bahan mentah mudah diperoleh.
Pengurusnya, Mohamad Rizuan Mohd Razali, berkata resipi turun-temurun menjadi pertaruhan dia dan kakaknya, Zalina, mengusahakan restoran berkenaan.
“Resipi sate ini daripada datuk kami yang dulu selalu mengambil tempahan sate. Ia kemudian diperturunkan kepada bapa saudara yang turut berniaga sate di tepi jalan. Kini saya dan kakak pula mempopularkannya kerana yakin sate menu yang digemari rakyat Malaysia,” katanya.
Menurutnya, selain sate daging ayam, lembu dan kambing yang menjadi kegemaran pelanggan, pihaknya turut menawarkan sate pedal, hati, perut dan rusa. Sate pedal dan hati yang jarang ditawarkan di tempat lain digemari kaum hawa.
Ramuan sama digunakan untuk memerap semua jenis sate termasuk pedal, perut dan hati tetapi bahan mentah berkenaan direbus terlebih dulu sebelum diperap dengan ramuan rempah-ratus.
“Untuk sate ayam, semua bahagian digunakan manakala untuk daging (lembu), bahagian batang pinang dipilih kerana ia lembut dan lebih enak manakala sate kambing diperbuat daripada bahagian paha.
“Sate diperap seharian sebelum dicucuk dan dibakar.
“Sate bukan saja digemari orang Melayu tetapi juga Cina dan India. Sambutan diterima sejak restoran ini beroperasi, Oktober lalu cukup memberangsangkan. Selain pesanan untuk makan di restoran, kami turut menerima tempahan untuk katering.
“Bagi tempahan sekurang- kurangnya 500 cucuk, kami menyediakan khidmat bakar dan hantar kepada pelanggan tetapi jika 1,000 cucuk ke atas, ia boleh dibakar di lokasi. Setakat ini, kami banyak menerima tempahan katering daripada orang Cina,” katanya.
Sate arnab ditawarkan harga promosi RM1.60 secucuk. Walaupun tidak semua orang berani mencuba sate arnab, ia mempunyai pelanggan tetap kerana dagingnya lembut dan halus.
Tidak puas makan sate, hidangan sampingan yang boleh dicuba ialah nasi goreng istimewa Rasa-Rasa Satay. Menu mengandungi udang bersalut tepung, telur dadar, keropok, tiga cucuk sate dan sambal belacan itu pasti tidak rugi jika dipesan.
Selain itu, anda boleh mencuba mi bandung yang dilengkapi bahan yang menambah keenakannya seperti telur, udang, ayam, sawi dan tauge. Jika mahu, nasi kukus ayam berempah, cuba pesan menu itu di Rasa Rasa Satay yang turut menyertakan kari ayam, sambal belacan dan acar timun. Bagi yang tidak menggemari masakan pedas atau kanak-kanak, mi hailam amat sesuai. Ia mewah dengan udang, sotong dan ayam.
Bagi mengelakkan loya kerana makan banyak, minuman sesuai disediakan di Rasa Rasa Satay. Anda boleh membasah tekak dengan jus epal kasturi, epal asam boi atau kasturi asam boi.
NASI GORENG RASA-RASA SATAY
Bahan:
Sotong, ayam dan udang.
1 sudu teh sambal belacan.
1 sudu makan cili kisar.
3 ulas bawang merah.
1 ulas bawang putih.
Garam dan gula secukup rasa.
1 sudu rempah sate.
Kailan, lobak merah, kubis dan kubis ungu (dihiris kecil).
3 ekor Udang goreng tepung.
Telur dadar.
3 cucuk sate.
Sambal belacan.
Cara memasak:
Tumis bawang putih dan merah. Tuang sedikit air. Masukkan sotong, udang dan ayam. Masukkan sambal belacan dan cili kisar, garam, gula dan rempah sate. Masukkan nasi, gaul diikuti kailan, lobak merah, kubis dan kubis bunga.
MAKANAN-HARGA
1. Sate ayam/hati 60 sen (secucuk)
2. Sate daging/kambing 70 sen (secucuk)
3. Sate perut muda RM1 (secucuk)
4. Sate arnab RM1.60 (secucuk)
5. Nasi goreng istimewa Rasa-Rasa Satay RM10
6. Mi Bandung RM6.50
7. Nasi kukus ayam berempah RM6.50
8. Mi hailam RM6.50
MINUMAN-HARGA
1. Epal kasturi RM3.30
2. Epal asam boi RM3.30
3. Kasturi asam boi RM3.30
ALAMAT: G-75, Jalan Prima SG3, Prima Sri Gombak, 68100 Batu Caves.
TELEFON: 017-3871416
WAKTU PERNIAGAAN: Selasa hingga Ahad dari jam 12 tengah hari hingga 12 malam.
Kongsi artikel ini menerusi media sosial
No comments:
Post a Comment