Friday, March 18, 2011

Nasi Ayam Bacang


Nasi ayam Bachang


SUZIANA Ali (tengah) bersama kedua-dua anaknya, Dhamirah Hadirah (kanan) dan Dhamirah Nabiilah memegang antara hidangan istimewa iaitu nasi ayam special dan chicken chop di Restoran Nasi Goreng Special, Jalan Bachang, Melaka.

SINGGAH MAKAN
MELIHAT keadaan luar restoran, Nasi Ayam Special berhampiran lampu isyarat Jalan Bachang di Melaka, tiada bezanya dengan kedai makan nasi ayam lain.

Namun, bagi mereka yang sering menjadikan restoran ini 'tempat melepak' setiap kali tiba waktu makan tengah hari, keenakan ayam goreng kukus ala masakan Cina sudah sinonim dengan selera mereka.

Ramai yang tidak boleh melupakan keenakannya yang bukan sahaja sehingga menjilat jari, malah terbawa-bawa sehingga sudah pulang ke rumah.

Restoran nasi ayam ini diusahakan oleh Suziana Ali, 38, bersama suami dengan menyajikan hidangan nasi ayam yang ringkas, lazat dan cepat bersesuaian dengan selera masyarakat pelbagai kaum di negara ini.

Paling paling penting, harganya sangat berpatutan iaitu hanya RM3.50.

Restoran itu beroperasi sejak 16 tahun lalu. Ia dibuka dari pukul 11 pagi sehingga 12 tengah malam setiap hari kecuali Selasa.

Sepanjang beroperasi di lokasi itu, penambahbaikan rasa dan ramuan nasi ayam restorannya sering dilakukan. Ia demi memastikan pelanggan tidak bosan dengan sajian di restoran itu.

"Kita sediakan hidangan nasi ayam yang ringkas, sedap dan cepat sesuai untuk pelanggan kami yang rata-ratanya kakitangan pejabat," kata Suziana yang ditemui S2 baru-baru ini.

Pelanggan yang membuat pesanan nasi goreng misalnya, akan dihidangkan dengan ayam daripada sajian nasi ayam bagi membolehkan mereka merasa keenakannya bersama sambal pedas sebagai sos.

Cara penyediaan ayam goreng untuk nasi ayam ini nampak ada persamaan dengan cara peniaga nasi ayam berbangsa Cina. Daging ayam direbus sebelum digoreng agar ia nampak lembap dan segar.

"Namun, saya ada resipi sendiri yang saya cipta dan ternyata diminati ramai," jelas Suziana sambil tersenyum merahsiakan ramuan menyediakan sajian ayam goreng untuk nasi ayamnya itu.

Restoran Nasi Ayam Special juga mempunyai cawangan di Lorong Pandan di Melaka.

Selain nasi ayam, pelanggan juga boleh menikmati jenis hidangan lain seperti sajian Barat antaranya chicken chop, fish and chips, ais kacang aiskrim, tauhu bakar dan masakan goreng lain.

Sekiranya berhasrat mencuba nasi ayam di Restoran Nasi Ayam Special di Jalan Bachang ini bersama keluarga, jangan lupa memesan sup sayur dan telur dadar.

Ia pelengkap hidangan dengan minuman selain jus buah, anda juga boleh mencuba ais kacang aiskrim yang paling digemari oleh pelanggan ke restoran itu.

Penulis sukar untuk menggambarkan keenakan nasi ayam di sini menerusi catatan. Datanglah untuk merasainya sendiri.

TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

No comments:

Post a Comment