Thursday, March 17, 2011

Nasi Ayam Di Kuantan


Restoran Monrods kini temui peminat nasi ayam di Kuantan


Restoran Monrods di Jalan Mahkota, Kuantan menyediakan pelbagai resipi nasi ayam untuk dinikmati pelanggan pada waktu petang atau malam.

KUANTAN 17 Mac - Sebut sahaja nama Monrods pasti ada menyangka premis perniagaan tersebut menyediakan masakan ala barat atau pun diusahakan oleh orang bukan Melayu.

Terletak di lokasi strategik di Jalan Mahkota, di tengah pusat bandar ini Restoran Monrods dimiliki oleh dua sahabat, Rosli Rashid dan Roslan Zainol Abidin.

Restoran itu menyediakan gabungan menu, tradisional Melayu, ala timur dan barat.

Berkonsepkan moden kontemporari dengan menggabungkan warna merah dan putih pastinya membuat pengunjung terpegun dengan hiasan dalaman yang bertemakan gaya, rasa serta keriangan.

Kini restoran yang beroperasi di Lembah Klang turut mendapat perhatian Koperasi Pegawai-Pegawai Kerajaan Pahang (KPKP) apabila berminat menjadi francaisi bagi mengembangkan aktiviti perniagaan koperasi tersebut di Jalan Mahkota di bandar ini.

Pengarah Urusan Monrods, Roslan berkata, inilah kali pertama sebuah koperasi tertua di negeri ini berminat bekerjasama dengan pihaknya membuka restoran itu di sini.

Menurutnya, menu dihidangkan menepati cita rasa semua golongan yang berbilang bangsa serta harga yang ditawarkan adalah berpatutan.

Jelas beliau, antara hidangan menjadi pilihan pengunjung adalah kepelbagaian nasi ayam seperti Nasi Ayam Di Istana yang menyajikan ayam goreng berempah menggunakan rempah ratus terpilih.

''Terdapat juga Nasi Ayam Di Madu, Nasi Ayam Di Panggang serta Nasi Ayam Di Hainan dan pengunjung boleh membuat pilihan mengikut selera masing-masing," katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru- baru ini.

Selain nasi ayam, Restoran Monrods juga menyediakan hidangan ala Barat termasuk stik daging kambing dan ayam, spageti, emping kentang serta pelbagai lagi.

Lebih istimewa katanya, Monrods menyajikan menu tradisional Melayu iaitu ubi kayu rebus yang dimakan bersama sambal ikan bilis dan kelapa parut.

''Selain itu hidangan makan ringan lain adalah mi rebus, cucur kodok, cucur ikan bilis dan cucur keledek," katanya.

Tambah Roslan, sambil menikmati hidangan, pengunjung akan dihiburkan dengan persembahan kumpulan muzik bagi memenuhi cita rasa pengunjung yang terdiri daripada pelbagai peringkat usia.

''Bagi mereka yang ingin mengadakan majlis-majlis keraian seperti sambutan hari lahir dan sebagainya, kami turut menyediakan ruang yang boleh menempatkan seramai 200 tetamu pada satu-satu masa," katanya.

Beroperasi setiap hari dari pukul 11 pagi sehingga 12 malam, Restoran Monrods sedia menerima tempahan pelbagai majlis keraian dengan berhubung pihak pengurusan atau menghubungi di talian 09-5030607.

TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

No comments:

Post a Comment