Friday, January 6, 2012

nasi ulam budu

Kelainan nasi ulam budu di Restoran Suasa Hotel Habib

KOTA BHARU 6 Jan. - Penggemar nasi ulam kini mempunyai satu lagi pilihan untuk menikmati sajian istimewa itu apabila Restoran Suasa, Hotel Habib di Jalan Maju di sini, menawarkan bufet nasi ulam budu dengan pilihan 12 jenis ulam.

Uniknya, nasi itu yang dihidangkan bersama lauk-pauk antaranya gulai ikan patin, ikan keli berlada, daging bakar berempah, ayam percik, sayur lemak kuning nangka dengan pembuka selera, budu, sambal belacan atau tempoyak hanya disajikan pada hari Sabtu.

Pengurus hotel berkenaan, Zakaria Ismail berkata, sajian tersebut dimasak oleh chef-chef berpengalaman yang merupakan anak jati Kelantan dan tahu selera masyarakat tempatan khususnya berkaitan ulam dan budu.

Antara ulam-ulaman terpilih dan segar yang disajikan ialah ulam raja, pucuk gajus, pucuk beko, daun pegaga, pucuk ubi setelor, daun jeneris, daun selasih dan kacang botol.

"Menariknya nasi ulam di sini dihidangkan secara bufet. Bayar sekali sahaja dan orang ramai boleh tambah berapa kali, berbanding di tempat lain yang dijual dengan bayaran mengikut setiap apa yang diambil. Kalau tambah makanan, caj bertambah lagi.

"Di sini juga, orang ramai boleh makan dengan selesa dalam persekitaran yang kondusif sambil menonton televisyen," katanya ketika ditemui di sini, baru-baru ini.

Zakaria berkata, bayaran bufet yang dikenakan ialah RM23++ untuk dewasa manakala RM15++ bagi kanak-kanak.

Beliau berkata, pihak hotel memilih untuk menawarkan sajian itu hanya pada hari Sabtu yang merupakan hari cuti dan bersesuaian dengan gaya hidup berkeluarga di negeri ini yang lazimnya makan di luar pada hari tersebut.

"Hari Sabtu salah satu hari tidak bekerja di negeri ini dan biasanya orang ramai atau keluarga akan makan di luar pada hari berkenaan berbanding hari Jumaat.

"Hari yang lain pula, hari bekerja dan ramai orang bekerja di bandar ini sedangkan ruang yang kami miliki terhad," katanya.

Menurut Zakaria, restorannya mempunyai tempat yang amat terhad dan orang ramai yang ingin menikmati 'kelainan' nasi ulam budu di situ dinasihat membuat tempahan awal di talian 09-7474788.

No comments:

Post a Comment