Blog memaparkan tempat makan yang menarik seperti restoran, kafe, warung atau ape saja yang glamer juga himpunan resepi yang menarik. HARAP ANDA ENJOY !!!
Saturday, December 11, 2010
Kafe Canaan
Kafe Canaan promosi makanan eksotik
Oleh RANIA PARAN
utusansarawak@utusan.com.my
Kafe Canaan menjadi tumpuan orang ramai yang mahu menikmati hidangan unik dan eksotik di Pusat Komersial Centre Point, Miri, Sarawak. - utusan/RANIA PARAN
MIRI 10 Dis. - Suku kaum Kelabit dari tanah tinggi Bario sememangnya terkenal dengan sikap peramah dan lemah.
Namun, selain daripada sikap kaum itu kepada masyarakat luar, kesedapan makanan disajikan kepada tetamu juga sukar untuk dilupai sepanjang hayat.
Berteraskan sumber hutan, pelbagai jenis sayur-sayuran dan buah-buahan disajikan dalam daun dan buluh beserta nasi lembut yang berbungkus dengan daun.
Selain itu, hasil buruan seperti rusa, kijang atau pelanduk dan ikan dicampur dengan tumbuhan hutan lain juga dihidangkan di atas daun yang menjadikannya kelihatan cukup eksotik.
Namun tidak perlu bimbang, meskipun tidak berpeluang berkunjung ke Bario, hidangan eksotik Kelabit ini masih boleh dinikmati di Kafe Canaan yang terletak di Pusat Komersial Centre Point, Miri di sini.
Pemilik Kafe Canaan, Ranson Ballan berkata, kafe itu menyediakan 80 peratus hidangan tradisi kaum Kelabit antaranya hidangan wajib nubak layak (nasi yang dibungkus menggunakan sejenis daun), sayur-sayuran hutan seperti umbut, daun ubi, pucuk lemidin dan siput sungai.
Selain itu, beras Bario, pekasam dan kuih-muih yang diperbuat daripada beras pulut yang ditumbuk turut disajikan kepada pelanggan.
"Setiap hari, kita menyediakan kira-kira 13 hidangan termasuk daging ayam yang dimasak menggunakan buluh. Pengunjung boleh memilih untuk menikmati nasi Bario atau nubak layak," kata Ballan kepada Utusan Malaysia, di sini semalam.
Mula beroperasi sejak lima tahun lalu, Kafe Canaan mendapat sambutan luar biasa daripada pengunjung termasuk pelancong dari Korea, Jepun, China, Eropah, Amerika Syarikat dan Australia.
"Tujuan kita ialah memperkenalkan hidangan yang diwarisi daripada nenek moyang kepada orang luar.
"Pada masa sama, kita mahu menyahut seruan kerajaan untuk menambah nilai komersial makanan tradisi tanpa menjejaskan keunikan makanan itu," katanya.
Katanya, pengiktirafan Miri sebagai bandar raya lima tahun lalu telah memberi idea kepadanya untuk membuka premis makanan yang berbeza daripada yang lain.
Apatah lagi, dengan status sebagai bandar raya peranginan yang mempunyai hampir 30 suku kaum, Miri perlu menampilkan ciri-ciri keunikan itu melalui makanan tradisional.
Kata Ballan, pada masa itu, masih belum ramai di kalangan suku kaum di Miri menceburi bidang perniagaan makanan tradisi berbanding sekarang yang muncul ibarat cendawan tumbuh selepas hujan.
Ranson Ballan menunjukkan masakan suku kaum Kelabit yang boleh dinikmati di Kafe Canaan, Miri, Sarawak.
"Usaha ini sejajar dengan langkah kerajaan untuk menjadikan Miri sebagai syurga makanan di utara Sarawak," katanya.
Menurutnya, dia tidak dapat melupakan pengalaman melihat pelanggan yang terdiri daripada pelancong asing menikmati nubak layak dengan pekasam di Kafe Canaan.
"Tidak semua orang pandai makan nubak layak apatah dengan pekasam yang rasa-rasanya masam dan masin. Justeru satu kepuasan apabila melihat kaum lain dapat menikmati hidangan kami dengan begitu berselera," katanya.
Pengusaha kafe itu begitu puas kerana dapat mempromosi makanan eksotik Kelabit kepada pelancong luar.
Tambahnya, nubak layak amat sinonim dengan kaum Kelabit dan menjadi tradisi bagi kaum itu membawa nubak layak setiap kali pergi ke hutan atau huma.
Oleh kerana huma atau hutan terletak jauh dari rumah pada zaman dahulu, nenek moyang mereka membawa nasi bungkus yang sengaja dimasak dengan lembut.
"Dahulu mana ada bekas membawa sup. Justeru, nasi tersebut memang dimasak dengan air yang banyak agar ia lembut, mudah dimakan selain senang hadam," katanya.
Katanya, nubak layak juga merupakan hidangan tradisi Orang Ulu seperti Kayan dan Lun Bawang.
"Apa yang membezakan ialah nubak layak Kelabit mempunyai tekstur yang lebih lembut berbanding nubak layak Kayan," katanya.
Mungkin ramai yang tidak tahu walaupun kaum Kelabit terkenal dengan penanaman beras Bario, namun mereka menggunakan beras dari jenis lain untuk memasak nubak layak.
"Jangan terkejut jika berkunjung ke rumah panjang di Bario, kami tidak gunakan beras Bario untuk membuat nubak layak," katanya.
Kata Ballan, beras Bario tidak sesuai dijadikan nubak layak sebaliknya lebih enak dinikmati dengan memasaknya seperti biasa.
Setiap hari, Kafe Canaan menyediakan sebanyak 100 bungkus nubak layak.
Melihat kepada sambutan baik, Ballan berharap dapat memperluaskan ruang perniagaannya memandangkan yang sedia ada tidak mencukupi untuk menampung jumlah pelanggan yang kian meningkat.
Seorang pelanggan, Sherman Meru Palong, 49, dari Lawas berkata, Kafe Canaan menyediakan makanan yang menepati selera orang kampung atau rumah panjang.
"Setiap hari menikmati hidangan di bandar bosan juga. Kita perlukan lebih banyak tempat makan seumpama ini, lagipun ia mendapat sambutan baik daripada orang ramai," katanya.
Kafe Canaan dibuka mulai pukul 6 pagi hingga 3 petang setiap Isnin hingga Sabtu dan menyediakan hidangan sarapan pagi dan makan tengah hari.
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment