Monday, April 30, 2012

restoran sz rahmah

ARKIB : 07/04/2012

Keaslian rasa gulai tempoyak ikan patin SZ Rahmah


GULAI tempoyak ikan patin antara menu istimewa Restoran SZ Rahmah.


SEMASA Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) kawasan Kerdau, Pahang pada Februari tahun lalu, negara digemparkan dengan cerita sensasi mengenai harga gulai tempoyak ikan patin Temerloh berharga RM13,000 untuk hidangan 56 orang.
Walaupun cerita tersebut tidak tepat ekoran salah faham tetapi ia memberi gambaran kurang baik terhadap imej peniaga makanan di sekitar Temerloh.
Namun di sebalik berita sensasi itu, ia memberi impak positif apabila secara tidak langsung telah meningkatkan populariti ikan tersebut sebagai hidangan istimewa di daerah Temerloh.
Sejak itu, minat orang ramai untuk menikmati keenakan gulai tempoyak ikan patin telah bertambah, menyebabkan permintaannya meningkat berkali ganda.
Namun begitu, tidak semua peniaga makanan di bandar ini mampu menyediakan masakan gulai tempoyak ikan patin bagi memikat selera orang ramai terutama untuk memuaskan hati 'penggemar tegar' ikan tersebut.
Daripada ratusan restoran dan gerai yang menjual masakan berkenaan, hanya beberapa peniaga sahaja yang dikatakan mampu menyediakan masakan yang boleh memenuhi kehendak golongan berkenaan.
Mereka begitu pakar sehingga dapat membezakan yang mana satu ikan patin diternak di dalam kolam, sangkar ataupun patin liar yang juga dikenali sebagai 'patin ori' daripada spesies patin buah dan patin muncung di Sungai Pahang.
Salah sebuah restoran yang dimaksudkan adalah Restoran SZ Rahmah yang terletak di Batu 3, Jalan Temerloh - Kuantan, bersebelahan Stesen Minyak BHP.
Masakan gulai tempoyak ikan patin di restoran milik Siti Zainon Zakaria, 74, itu mula dibuka sejak awal tahun 1980-an lagi, dan ia begitu sinonim di kalangan penggemar tegar yang ingin menikmati keenakan ikan patin buah atau patin muncung.
Semasa ditemui S2, Siti Zainon memberitahu, beliau tidak mempunyai sebarang rahsia bagi menyediakan masakan ikan tersebut supaya terus kekal enak sejak dahulu sehingga hari ini, selain hanya menggunakan bahan-bahan terpilih dan bermutu sahaja.
"Saya membeli terus ikan patin buah dari nelayan dengan harga RM80 sekilogram dan setiap seekor dipotong empat dan kepala dibelah dua.
"Petua untuk mengekalkan rasa yang sedap, ikan patin ini jangan dipotong atau kerat ekornya kecuali buang durinya sahaja, dan perlu dicuci bersih dengan menggunakan limau nipis," kata Siti Zainon.
Harga masakan gulai tempoyak ikan patin buah pula adalah antara RM10 dan RM18 sepotong bergantung kepada saiz, kepala dan ekor ikan tersebut.
Selain ikan patin buah, kadang-kala beliau menjual masakan ikan patin muncung tetapi harganya lebih mahal kerana ikan itu sukar diperoleh, yang mana harganya kini sudah mencecah RM270 sekilogram.
Namun begitu katanya, bagi penggemar tegar, harga bukan lagi persoalan, yang penting adalah rasa yang sedap dan enak membuatkan mereka tidak begitu berkira kerana tahu menilai harga sebenar masakan tersebut.
Tambahnya, beliau juga menggunakan tempoyak yang dibuat khas dari pembekal di Kuala Lipis dengan harga RM1,400 untuk 80 kilogram dan mampu bertahan selama tiga bulan.
"Petua lain adalah saya menggunakan garam kasar, kunyit hidup yang dikisar dan lada panjang.
"Untuk masak tujuh ekor patin, saya menggunakan tiga kilogram tempoyak yang dikacau rata sebelum dimasukkan ke dalam periuk," kata Siti Zainon.
Selain gulai tempoyak, Restoran RZ Rahmah juga popular dengan hidangan sambal udang galah dan ayam goreng, di samping 25 lagi hidangan lauk-pauk lain.
Menurutnya, masakan gulai tempoyak ikan patin mula popular di kalangan orang luar kira-kira tujuh tahun lalu kerana sebelum ini ramai yang beranggapan ikan sungai itu kurang sedap dan berbau hanyir.
Sebenarnya, pandangan itu salah kerana selain patin, ikan sungai seperti kelah, tembalian, kerai, gahak dan tapah juga sedap dan membuka selera apabila disiang dan dimasak dengan cara yang betul.
Beliau juga sering menerima tempahan daripada penggemar dari Kuala Lumpur dan Genting Highlands, malah ramai juga pelanggannya datang dari Kuala Lumpur, Shah Alam, Klang dan Putrajaya semata-mata ingin menikmati gulai tempoyak ikan patin.

Wednesday, April 25, 2012

nak try burger gergasi

Kelainan menikmati burger saiz super



TATKALA melihat hidangan burger sebesar pemeluk, sudah pasti melahirkan perasaan teruja kepada sesiapa sahaja.
Apatah lagi, burger merupakan salah satu hidangan yang menjadi pilihan penggemar makanan segera di negara ini.
Lazimnya, burger gergasi yang mencecah lebih tiga kilogram (kg) sebelum ini hanya dapat ditonton melalui kaca televisyen berdasarkan cerita dari luar negara ataupun Internet.
Ternyata, idea hidangan seumpama itu telah mencetus kreativiti beberapa pengusaha burger di negara ini.
Kini, penggemar makanan tempatan boleh menikmati burger gergasi di gerai burger YB yang terletak di Kompleks Perniagaan Anjung 7, Seksyen 7, Shah Alam, Selangor.
Burger gergasi buatan sendiri Abu Yazid Abdul Kadir, 32, itu menawarkan tiga pilihan saiz dan pelbagai jenis roti kepada penggemar burger yang inginkan sesuatu yang baharu.
Berbekalkan pengalaman selama hampir 14 tahun dalam bidang perniagaan burger, Abu Yazid berkata, pengenalan burger YB, iaitu singkatan untuk 'yang besar' adalah untuk mencipta kelainan kepada penggemar burger di negara ini.
"Sungguhpun pengenalan burger YB baru mencecah usia sebulan, permintaan terhadap burger berkenaan berjaya mencuri tumpuan orang ramai.
"Ia sesuatu yang di luar dugaan kerana saya tidak menjangka sama sekali burger besar ini akan mendapat permintaan tinggi," ujarnya ketika ditemui Kosmo!.
Pada mulanya, perasaan ragu-ragu menyelubungi pemilik burger YB itu memandangkan pembuatannya disasarkan untuk para tetamu jamuan hari jadi ataupun majlis korporat sahaja.
Lebih melucukan, terdapat segelintir pihak yang meragui kesahihan saiz burger berkenaan apabila gambarnya dimuat turun di laman blog. Bahkan, ada yang mengatakan ia adalah hasil kesan penyuntingan imej.
Bagaimanapun, anak jati Perak itu tidak pernah mengenal erti putus asa, sebaliknya terus berupaya menarik nafas lega apabila burger gergasi mula mendapat permintaan tinggi selepas beberapa minggu beroperasi.
KESEGARAN patti daging yang dikisar setiap hari menjadikan burger YB istimewa.


"Saya perlu memastikan tempahan awal dilakukan terlebih dahulu oleh para pelanggan agar permintaan mereka dapat dipenuhi.
"Kualiti dan kesegaran dalam penyediaan burger YB amat dititikberatkan. Ia perlu dilakukan demi memberi kepuasan kepada pelanggan-pelanggan," katanya.
Aneka sos, roti dan patti
Abu Yazid menjelaskan, pelanggan-pelanggan boleh memilih tiga variasi berat patti daging. Mereka boleh memilih patti daging burger seberat satu kilogram (kg), 500 gram (g) atau 250g.
"Patti daging burger yang seberat sekilogram sesuai dimakan sehingga lapan orang, 500g pula untuk empat orang manakala 250g sesuai bagi pasangan.
"Kalau larat, boleh habiskan burger seberat sekilogram tersebut seorang diri," katanya berseloroh.
Selain daripada itu, pelanggan juga boleh memilih salah satu daripada tiga perisa daging patti iaitu lada hitam, cendawan, tom yam dan BBQ (barbeku).
"Pelanggan boleh memilih roti oregano, bawang putih, oat madu ataupun roti mil penuh mengikut selera masing-masing.
"Mengikut selera masing-masing, kami memberi pilihan sayur-sayuran untuk disertakan dalam burger YB iaitu salad, bawang, tomato, timun, kobis dan lobak merah," ujarnya yang sedang mengikuti kursus Sarjana Pengurusan Perniagaan (MBA) di Universiti Sains dan Pengurusan (MSU), Shah Alam.
Semua pilihan itu disempurnakan dengan aneka jenis sos tambahan dan buah-buahan termasuk lada hitam, cendawan, jalapeno, epal, nanas, serta zaitun.
Proses
Abu Yazid memberitahu, demi memastikan kesegaran, bahan-bahan yang digunakan dalam pembuatan patti daging, roti dan sayur-sayuran akan dibeli setiap hari mengikut tempahan.
"Pada awal pagi, saya akan ke pasar untuk membeli bahan-bahan mentah. Sekitar pukul 9 pagi, rutin harian mengisar patti daging dan mengadun bahan-bahan membuat roti akan dimulakan sebelum membuka perniagaan pada pukul 5 petang," ujarnya.
Mengimbas kembali tujuan dia membikin patti daging dan roti buatan sendiri, dia memberitahu, ia lebih segar malah enak apabila dimakan.
"Bahkan, saya telah melakukan kerja penyelidikan dan pembangunan terhadap pembikinan roti selama hampir empat bulan untuk memastikan ia lembut dan segar.
"Tidak ramai yang membuat roti burger sendiri apatah lagi apabila menghidangkan burger bersaiz besar kepada pelanggan-pelanggan," ujarnya.
ABU YAZID memotong burger gergasi istimewa dua patti daging yang dimasak khas untuk Kosmo!.


Selain patti daging dan roti yang dibuat sendiri, Abu Yazid menambah, sos seperti lada hitam dan cendawannya merupakan resipi sendiri.
Terangnya, dia banyak menggunakan kaedah cuba-cuba dalam mengecapi kesempurnaan pembikinan produk buatan sendiri.
Tempahan dalam talian
Abu Yazid yang pernah mengikuti kursus pemprosesan daging Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) pada tahun 2011, memberitahu, dia menggalakkan para pelanggannya membuat tempahan sehari lebih awal sebelum datang ke gerainya.
Untuk tujuan itu, pelanggan boleh membuat tempahan melalui laman blog yazidburger.blogspot.com.
"Ini bagi memudahkan saya membuat persiapan bahan-bahan patti daging dan roti dengan kuantiti yang mencukupi.
"Ia juga dapat memastikan penggemar makanan segera ini tidak berasa hampa apabila mengunjungi kedai untuk menikmati burger YB," ujarnya.
Walaupun masih baru diperkenalkan, dia memberitahu, burger YB sudah menerima kunjungan pelanggan dari segenap negeri di Malaysia.
Justeru itu, dia berasa amat bertuah kerana dapat berkongsi resipi buatan sendiri untuk membawa keceriaan kepada pelanggan-pelanggannya.
Teruja

ORANG ramai mengambil kesempatan melihat sendiri pembikinan burger YB yang semakin terkenal terutamanya di Shah Alam, Selangor.


Sementara itu, seorang pelanggan burger YB, Mohd. Izham Mukhari, 27, mengakui, dia sangat teruja apabila kali pertama melihat burger besar tersebut.
"Kali pertama melihatnya, perasaan membuak-buak untuk merasainya. Ia sama sekali tidak menghampakan kerana apabila mengunyah, kita boleh merasai campuran rempah ratus yang sebati dalam burger berkenaan," katanya yang mencuba burger seberat 500g.
Izyani Zahari, 29, pula memberitahu, keenakan burger berkenaan bukan sahaja terletak pada patti malah rotinya.
"Tekstur roti sangat gebu dan lembut apatah lagi apabila kita menikmati bersama dengan daging burger serta sayur-sayuran.
"Dalam pada itu, ia amat sesuai untuk dinikmati secara beramai-ramai bersama keluarga dan kawan-kawan," kata pekerja swasta itu lagi.
Bagi seorang lagi penggemar burger YB, Norly Azman, 23, dia dapat merasai kelainan pada daging burger dan roti apabila menikmati burger YB.
"Daging yang dimakan terasa lebih segar dan tidak berminyak. Lebih utama, rupa dan rasanya membangkitkan selera," katanya.

Saturday, April 14, 2012

tar bulan ramadan

Ikon bulan Ramadan


Pasar Malam Jalan TAR merupakan antara pasar malam yang terbesar di Malaysia dan mula beroperasi pada pertengahan tahun 1980-an. Variasi juadah dijual oleh lebih 500 peniaga membuatkan lokasi ini menjadi tarikan bukan sahaja orang tempatan malah pelancong asing. Pada bulan Ramadan, keadaan bertambah meriah dan sesak apabila menjadi tumpuan warga kota untuk mencari juadah berbuka puasa dan kelengkapan bagi menyambut hari raya.


MSIAPA yang tidak kenal dengan Jalan Tuanku Abdul Rahman atau nama asalnya Batu Road yang terletak di kawasan perniagaan tumpuan di ibu kota? Ia ibarat lubuk emas perniagaan di ibu negara lantaran dilimpahi pelbagai premis perniagaan terutamanya pakaian dan tekstil.
Setiap kali tibanya bulan Ramadan, jalan yang dinamakan sempena nama Yang di-Pertuan Agong pertama, Al-Marhum Tuanku Abdul Rahman Ibni Al-Marhum Tuanku Muhammad itu pasti akan sesak dipenuhi pengunjung yang membeli-belah persiapan perayaan.
Kompleks beli-belah moden seperti Sogo, Maju Junction, gedung Kamdar dan banyak lagi premis niaga kontemporari turut mencuri tumpuan di jalan itu.
Tidak ketinggalan, Jalan Tuanku Abdul Rahman atau Jalan TAR juga di kelilingi dengan deretan bangunan-bangunan neo-klasik seperti Coliseum yang pastinya memberi nilai kemegahan estetika seni bina.
Adakah senario Jalan TAR yang wujud sejak lebih seabad masih kekal? Kosmo! membawa anda menjelajahi beberapa lokasi yang barangkali dapat mengimbau memori anda suatu ketika dahulu.

kafe taman

Kafe taman menghadap ikon negara


NZ Garden Kafe yang terletak di tengah-tengah ibu kota menjadi lokasi pilihan ramai untuk berkumpul dan bersantai bersama teman.


BERSANTAI di restoran atau kafe untuk menikmati makanan, berjumpa rakan-rakan dan meluang masa berkualiti bersama keluarga menjadi sebahagian daripada budaya rakyat Malaysia masa kini. Ia juga antara sebab mengapa Malaysia dilihat sebagai syurga makanan tanpa mengira waktu.
Terletak di rentangan jalan yang paling gah iaitu berhadapan mercu tanda Malaysia, Menara Berkembar Petronas, Restoran NZ Garden Cafe menjadi tumpuan hangat warga kota untuk melunaskan ritual urban mereka.
Menyediakan makanan 24 jam sehari, setiap hari, NZ Garden Cafe di Jalan Saloma, berhadapan Jalan Ampang itu menyediakan juadah yang pelbagai, baik menu tempatan hinggalah ke seleksi makanan Barat.
Walaupun berkonsep seperti restoran mamak yang lain, NZ Garden Kafe mempunyai kelainan dari segi lokasi, landskap, pilihan menu makanan dan kemudahan lain yang memudahkan para pelibur ibu negara khususnya pelancong asing.

PELANGGAN menjamu selera di NZ Garden Kafe berlatarkan menara berkembar KLCC.


Pemilik restoran tersebut, Mohd. Ali Hajar Maiden, 41, berkata, pengalaman dalam bidang penyediaan makanan sejak beberapa generasi telah membimbing beliau bersama rakannya untuk membuka restoran ala santai itu.
Menarik mengenai NZ Garden Cafe adalah dekorasi dalaman yang mengangkat aura kontemporari dengan latar warna perang gelap untuk dipadankan dengan konsep taman.
"Kami memilih elemen taman kerana di tengah-tengah Kuala Lumpur yang sesak dengan bangunan konkrit, saya percaya tumbuh-tumbuhan dapat memberikan suasana yang nyaman. Tambahan pula, memiliki ruang yang luas amat ideal untuk ia dihias dengan kehijauan alam semula jadi," kata Ali.
Membelanjakan kira-kira RM3 juta untuk bangunan dan rekaan dalaman, NZ Garden Cafe meliputi kawasan seluas 2,787 meter persegi.
Merupakan cawangan terbesar dalam rangkaian Restoran NZ berbanding yang sudahpun beroperasi lebih lama seperti di Wangsa Maju, Subang Jaya dan Gombak, Ali mengakui, rekaan dalaman memainkan peranan yang sama penting untuk menarik pelanggan selain keenakan hidangan.

SELAIN lengkap dengan pelbagai kemudahan, NZ Garden Kafe turut menyediakan pilihan makanan yang pelbagai.


Bagaikan sengaja mahu menggoda pengunjung dengan variasi sajian, kaunter makanan ditempatkan di pintu masuk utama restoran. Hidangan utama seperti nasi, ayam, daging dan sayur-sayuran turut 'diperagakan' di tengah-tengah ruang termasuklah kaunter masakan menu ala carte lain.
Sebagai menambah nilai, NZ Garden Cafe turut menyediakan beberapa kemudahan tambahan seperti surau, tandas, bilik berhawa dingin, tempat mencuci kereta dan sebuah kedai serbaneka. Tidak lama lagi, sebuah kaunter perkhidmatan pertukaran wang asing akan melengkapkan fungsi premis itu.
"Kami mahu mengoptimumkan kemudahan supaya pelancong mahupun pelanggan tempatan dapat segala-galanya di satu tempat," ujar Ali lagi.
Selain di Malaysia, Ali menyatakan, pihaknya sedang merancang membuka cawangan di Jakarta, Indonesia tidak lama lagi sebagai inisiatif bisnes masa hadapan. - NIZHA PERIASWAMY

bidor kopitiam

Nostalgia menu dari stesen Bidor


NASI goreng bersama ikan lengat goreng (kiri depan) merupakan menu istimewa Bidor Station Kopitiam.


SEBAIK menjejakkan kaki ke Bidor Station Kopitiam, nostalgia silam mula bermain di fikiran. Konsep stesen kereta api lama yang semakin pupus dan dicetuskan oleh pemiliknya ternyata terkesan di sanubari.
Justeru, ia pasti membuatkan sesiapa sahaja yang menjamu selera di kopitiam milik Suryani Kamaruddin, 35, yang dibuka pada 11 November 2009 itu termimpi-mimpi untuk datang semula bagi menikmati hidangan dan suasana kedai yang penuh nostalgia itu.
Tambahan pula setiap menu yang disediakan di kedai tersebut menepati cita rasa pelanggan seperti yang pernah dinikmati ketika kecil di kampung.
Misalnya, nasi goreng bersama ikan lengat goreng sudah cukup membuatkan mereka yang menggemarinya untuk datang semula.
Menurut Suryani, konsep nostalgia stesen kereta api Bidor tercetus ketika mengimbas memori silam yang cukup terkesan di dalam jiwanya.
Anak kelahiran Teluk Intan dan membesar di Bidor, Perak. Bidor merupakan salah sebuah stesen kereta api tertua di dunia.
Dia dan adik-beradiknya sering bermain di sekitar stesen tersebut ketika kecil. Ketika bermain dengan rakan-rakan di situ, ibunya pula berniaga di warung berdekatan.
Namun, pada hari ini stesen itu hanya tinggal tapak dan terletak tidak jauh dari Kampung Baru Bidor Stesen. Stesen Keretapi Bidor telah lama dirobohkan bagi memberi laluan kepada pembinaan landasan berkembar.
“Saya masih ingat lagi, dulu saya dan kawan-kawan selalu bermain di Stesen Keretapi Bidor selain gemar menaiki kereta api untuk ke Batu Gajah, kami akan menaiki kereta api dari stesen ini.
“Namun akibat perkembangan jaringan jalan raya, tidak ramai penduduk Bidor yang menggunakan perkhidmatan kereta api dan ini menyebabkan Stesen Keretapi Bidor sepi sehinggalah ia dirobohkan,” katanya yang menghabiskan RM100,000 untuk dekorasi premisnya.
Menu Bidor
Bidor terletak di tengah-tengah daerah Batang Padang, sebuah daerah di tenggara negeri Perak Darul Ridzuan manakala bersempadanan dengan mukim Bidor di sebelah timur ialah negeri Pahang.
Ekoran itu juga tidak hairanlah kebanyakan menu di Bidor Station Kopitiam tidak jauh bezanya dengan masakan kegemaran masyarakat di daerah itu.
Selain nasi goreng Bidor, mi rebus, laksa, mi kari dan mi udang antara yang menjadi tumpuan. Nasi lemak dan nasi goreng ayam Ringgo turut diminati.
Tidak cukup dengan itu, minuman pelbagai warna dan rasa dihidangkan seperti shirley temple, blue Lagoon pop, strawberi pop selain barisan minuman yang menjadi kegemaran sepanjang zaman.
Sambil menjamu selera, mata pasti terpukau dengan dekorasi yang mengimbas nostalgia stesen kereta api yang terdapat di utara tanah air itu.
Setiap meja mempunyai papan tanda yang mengambil nama sempena stesen kereta api dari Kuala Lumpur hingga Taiping.
Mengambil dekorasi binaan rumah kampung Bidor Station Kopitiam pasti membangkitkan kenangan setiap pengunjungnya di kampung dan sedikit sebanyak menghilangkan rasa rindu pelanggan terhadap kampung halaman mereka.
Sebuah kios kuih tradisional dan kaunter tiket kereta api menjadi tumpuan. Selain gambar-gambar pelbagai menghiasi dinding untuk tatapan pengunjung serta papan autograf artis tempatan pasti menggamit mata pengunjung ke situ.
Ditambah pula dengan lantai kayu dan reka bentuk kaki lima yang direka seperti beranda rumah kampung membuat Bidor Station Kopitiam yang lain daripada kebiasaan.