Menu lima bintang, gerai tepi jalan
SUASANA Jalan Damanlela, Pusat Bandar Damansara, Kuala Lumpur pada waktu malam sepi tanpa deruman enjin kenderaan.
Pada waktu siang, jalan itu sibuk kerana menjadi laluan utama bagi
penjawat awam dan swasta yang bekerja di bangunan-bangunan pejabat
sekitar jalan tersebut.
Waktu malam pula, penduduk yang tinggal di kawasan apartmen
berhampiran jalan itu lebih tertumpu di beberapa kawasan seperti di
restoran McDonald's, kedai runcit 24 jam dan beberapa restoran mamak.
Begitupun, di satu sudut jalan tersebut terdapat sebuah gerai yang
menjadi tumpuan orang ramai. Bukan struktur gerai mudah alih
konvensional, ia sebaliknya merupakan sebuah lori kecil yang diubah
suai.
Kelompok pelanggan yang memeriahkan suasana di situ boleh memilih
sama ada untuk memesan makanan untuk dibungkus dan dibawa pulang mahu
pun menikmatinya terus di meja makan yang disediakan.
"Ini kali pertama saya ke tempat makan yang menghidangkan menu ala
Barat yang dijual di atas lori dan senario ini amat unik," ujar Nur Aina
Omar, 25.
Aina dan rakannya, Sheila Shareena Mohamed Hamidi merupakan penggemar
menu hidangan ala Barat seperti spageti, piza, burger, bebola daging
dan lasagna.
"Saya tidak sangka akan menemui spageti yang dijual pada harga RM5 di
Kuala Lumpur ini. Namun, Humble Chef telah menyangkal persepsi saya
itu," jelasnya.
Kunjungan kali pertama Nur Aina dan Sheila dari Puchong ke lori
Humble Chef yang terletak di Jalan Damanlela baru-baru ini ternyata
berbaloi kerana makanan yang disediakan menepati cita rasa mereka.
WALAUPUN dengan sebuah lori kecil,
Humble Chef menjadi tarikan orang ramai yang berkunjung ke Pusat Bandar
Damansara pada waktu malam.
Tambah penjawat dalam sektor swasta itu, dia menggemari tempat makan
seperti Humble Chef kerana mempunyai ciri-ciri santai dan ringkas
walaupun tempat makan itu terletak di tepi jalan.
Sejak kira-kira empat tahun lalu, Humble Chef sudah dikenali sebagai
gerai yang menggunakan lori kecil untuk menghidangkan makanan Barat
ringkas seperti spageti, roti pita dan telur dadar (omelette).
Sesiapa sahaja yang pernah berkunjung ke Humble Chef, pasti berpuas
hati dengan harga serta kualiti makanan yang ditawarkan oleh jenama
tersebut.
Langkah mula
Pemilik Humble Chef, Rosman Hussin Rizal, 30 memberitahu, idea untuk
menghasilkan makanan ala Barat yang dijual dengan lori itu timbul empat
tahun lalu.
Ketika itu, lokasi pertama untuk mengenengahkan ideanya itu ialah di hadapan Masjid Wilayah yang terletak di Jalan Duta.
"Dengan hanya dua menu utama iaitu spageti bolognese ayam dan daging,
saya nekad untuk menjalankan perniagaan saya sendiri dengan sedikit
bantuan kewangan daripada ibu.
"Pada waktu itu, saya berniaga pada setiap waktu tengah hari. Saya
yang mengambil pesanan dan saya juga yang akan memasak setiap hidangan.
Hari Jumaat merupakan hari yang paling mendapat sambutan. Kebanyakan
yang datang ke lori saya ketika itu merupakan penjawat awam yang dalam
tempoh percubaan untuk diet," ujar graduan Diploma Seni Kulinari, Kolej
Legend, Kuala Lumpur itu.
Dia tidak meletakkan harapan yang tinggi dan hanya berharap mendapat
pulangan harian sebanyak RM100 termasuk keuntungan dan modal.
Menurutnya, setelah beberapa bulan berniaga, dia mengambil keputusan
untuk mengubah lokasi perniagaannya itu ke Jalan Damanlela kerana
menyukai panorama malam di sekitar jalan tersebut.
"Sebagai seorang bekas pelajar seni kulinari, saya tahu mengenai
pasaran makanan di Malaysia. Rakyat negara ini menyukai makanan yang
murah dan hidangannya pula ringkas.
"Ketika mula berpindah, saya dan seorang rakan tidak memperoleh
banyak pelanggan. Rata-ratanya yang datang untuk bungkus makanan untuk
dibawa pulang.
ROSMAN (kanan) turut membantu Mokhtar dalam penyediaan hidangan ala Barat di restorannya.
"Namun, selepas masakan Humble Chef telah diulas baik oleh sebuah
laman blog terkenal iaitu Bangsar Babe, pelanggan kami semakin
bertambah. Daripada tiada kerusi dan meja untuk pelanggan, kami akhirnya
menambah kelengkapan tersebut sedikit demi sedikit," ujar anak
kelahiran Seremban, Negeri Sembilan itu.
Ketika ditanya mengenai penggunaan jenama Humble Chef, Rosman
memberitahu, idea tersebut datang daripada bapanya yang merujuk kepada
sikapnya yang suka merendah diri.
Buka restoran
Selain daripada berniaga dengan lori, Rosman telah mengembangkan
perniagaannya dengan membuka restoran yang terletak di Jalan Medan Setia
2, Plaza Damansara sejak setahun lalu.
Walaupun telah membuka restoran, Rosman masih mengekalkan menu,
kualiti dan yang paling penting, harga yang sama seperti yang dijual di
lori.
"Setiap resipi yang disediakan untuk pelanggan merupakan resipi
rahsia yang dicipta sendiri oleh saya. Penyediaan hidangan tidak
menggunakan bahan pengawet dan terjamin halal dan bersih.
"Saya amat mementingkan keaslian sesuatu makanan. Setiap restoran
perlu ada signatur tersendiri untuk menarik pelanggan tidak kira menjual
makanan tradisional atau masakan Barat," ujarnya mengenai menu di
gerainya yang turut menjadi pilihan ramai selebriti tanah air.
Sementara itu, sahabat Rosman yang bertindak selaku tukang masak di
restoran Humble Chef, Mokhtar Hashim, 30, memberitahu, dia berasa
gembira apabila melihat pinggan kosong dipulangkan ke dapur selepas
pelanggan menjamu selera.
"Bagi saya, apabila pelanggan menghabiskan makanan, mereka suka akan
hidangan itu. Itu juga merupakan salah satu motivasi kepada saya untuk
terus menghasilkan hidangan terbaik kepada mereka," ujarnya.
SUASANA restoran Humble Chef semakin meriah dengan kehadiran pelanggan apabila menjelang waktu makan tengah hari.
Mengimbau kenangan yang tidak dapat dilupakan Rosman adalah apabila
seorang pengkritik masakan dari Singapura pernah berkunjung ke
restorannya dan memuji masakan Humble Chef.
"Saya tidak tahu bahawa dia merupakan pengkritik masakan. Usai dia
menghabiskan makanan, dia mengatakan makanan ala Barat di restoran ini
ringkas dan sedap," ujarnya.
Rosman memberitahu, tukang masak di restoran mahupun di lori Humble
Chef mampu menyiapkan hidangan spageti dalam masa satu minit.
Selain menggunakan Facebook dan Twitter sebagai strategi pemasaran
Humble Chef, Rosman juga percaya bahawa percakapan dari mulut ke mulut
yang dibawa oleh pelanggan merupakan strategi pemasaran terbaik.
"Kebanyakan pelanggan setia Humble Chef merupakan pelanggan yang
mendengar buah mulut rakan-rakan mereka yang pernah ke lori saya. Dengan
itu, secara tidak langsung nama Humble Chef tersebar kepada pelanggan
baharu," ujarnya.
Menurut Rosman, dia kini sedang merancang untuk membuka cawangan restoran Humble Chef di Shah Alam.