Mi udang terbaik dari Ledang
                                            NOR ‘ASYIKIN MAT HAYIN
                 3 September 2012                                      
                                
                                
Bersama pekerja dan suami, Hishamuddin Mohd Yusof (tiga, kanan) di hadapan restorannya.                                                                  
                                
Rosidah bersama suaminya menunjukkan Mi Udang Banjir biasa dan istimewa.                                  PENGGEMAR Mi Udang Banjir di selatan tanah air kini tidak perlu lagi ke  Pulau Pinang, Perak dan Kuala Selangor semata-mata untuk menikmati  sajian enak ini kerana hidangan lazat itu sudah terdapat di daerah  Ledang.
Walaupun penduduk di daerah Muar dan Ledang cukup sinonim dengan sajian  seperti Mi Bandung, Mi Rebus, dan Asam Pedas , namun keenakan Mi Udang  Banjir ini boleh membuka selera ramai.
Berjaya menambat selera sesiapa sahaja
Menariknya, sajian ini ‘dibanjiri’ banyak udang sehingga menutupi mi  dan kuah sekali gus membuatkan sesiapa sahaja terliur serta mahu  mencubanya.
Bagi mereka yang mahu mencuba hidangan ini, pastinya akan beranggapan  rasa Mi Udang Banjir sama seperti Mi Bandung berikutan pembuatan kuah  sajian berkenaan yang sepenuhnya berasaskan udang,
Bagaimanapun, selepas mencubanya, orang ramai pasti dapat merasai  kelazatan dan perbezaan hidangan Mi Udang Banjir ciptaan Rosidah Azhar,  40, dengan Mi Bandung.
Dekorasi ringkas Mi Udang Banjir dengan sedikit sayur kangkung yang  diletakkan dan ditambah dengan ‘kemeriahan’ timbunan udang menjadikan  sajian ini sangat menarik sekali gus memikat selera pengunjung.
Harga berbeza mengikut saiz
DISEDIAKAN dalam saiz biasa berharga RM6.50 sepinggan dan RM12 untuk  saiz istimewa, perbezaan hanya dapat dilihat pada udang yang diletakkan.  Tiga udang besar akan diletakkan untuk sajian istimewa, manakala 10  ekor udang segar sederhana bagi saiz Mi Udang Banjir biasa.
Lebih menyelerakan jika sajian ini diminum bersama air buah-buahan  segar seperti epal, oren dan limau kasturi yang dipercayai mampu  mengurangkan masalah alahan udang kepada mereka yang menghidap masalah  berkenaan.
Cipta resepi tersendiri
CUBAAN berani anak kelahiran Sabak Bernam, Selangor itu untuk  memperkenalkan makanan baru di daerah ini ternyata tidak sia-sia apabila  mendapat sambutan di luar jangkaan daripada penduduk setempat dan  pengunjung dari seluruh negeri ini sejak dua tahun mengusahakan  perniagaan berkenaan.
Rosidah yang merupakan pengemar Mi Udang Banjir  mengakui tidak akan  melepaskan peluang untuk menikmati makanan kegemarannya setiap kali  pulang ke kampung halaman di Selangor.
Justeru, menurutnya, timbul idea untuk memperkenalkan hidangan  berkenaan di Ledang dan Muar, tetapi menggunakan resipinya tersendiri  bagi mewujudkan rasa yang berlainan dengan Mi Udang Banjir sedia ada.
Kepuasan pelanggan jadi keutamaan
SEHINGGA ke hari ini, resepi kuah Mi Udang Banjir sentiasa diperbaiki untuk menjadikannya yang terbaik demi kepuasan pelanggan.
“Mi Udang Banjir sesuai dimakan semua peringkat umur kerana rasanya  tidak pedas, tetapi bagi mereka yang mahukan lebih pedas, saya akan  memenuhi permintaan mereka,” katanya yang memasak sendiri setiap menu  yang dipesan pelanggan,” katanya.
Rosidah berkata, dia sentiasa bersikap terbuka  menerima sebarang komen  daripada pelanggan terhadap rasa Mi Udang Banjirnya dan menganggapnya  sebagai teguran positif untuk melariskan lagi perniagaan yang  diusahakan.
Beroperasi dari  jam 12 tengah hari hingga 12 tengah malam, orang ramai  boleh berkunjung ke restoran tersebut yang terletak di Jalan Tanjung  Agas, Ledang, untuk menikmati sendiri keenakkan Mi Udang Banjir terbaik  dari Ledang.