Saturday, December 17, 2011

roti bakar dari blog dapurkakjee

ROTI BAKAR SPECIAL DI TAMBUN, IPOH




Roti Bakar dengan telor separuh masak

Roti Benggali



Hari kedua di Ipoh, bangun pagi terasa nak cari sarapan di kawasan berhampiran Tambun, tempat penginapan kami. Tak berani nak ronda jauh2 cari bekfas takut sesat. Tetiba Kjee ternampak satu foodcourt. Unclepali drive perlahan2 cari parking. Nampak gerai hujung sekali yang menawarkan roti bakar special.



Roti bakar Kaya

Ramainya orang. Biasalah, kalau ramai orang makanan gerenti sedap. So kami pun duduk. Rata2 semua pelanggan kat situ makan roti bakar. Wah mesti rasanya lain daripada yang lain. Kemudian Kjee nampak orang kat meja sebelah makan roti bakar yang tebal. Siap ada telor setengah masak atas roti bakar tu. Teringat Kjee pada Half Boiled Egg dan Toast di Pakli Kopitiam yang sangat2 Kjee suka!

Kjee dan Unclepali order yang sama. Sementara menunggu, Unclepali ambil nasi lemak bungkus atas meja. Kjee rasa sikit. Sedap! Nasinya ada rasa lemak. Tak macam sesetengah nasi lemak bungkus di KL yang nasinya hanya nasi putih baisa.

Hayati bersama anaknya
Dato Hafifi order mi goreng basah dari gerai sebelah. Sementara menunggu order kami, tetiba tauke kedai datang ke maja Kjee. "Ini kak Fauziah Samad ker? Saya Hayati, fren FB Kjee.." Ewah, sampai ke sini rupa2ny ada fren FB Kjee.

Seronok sangat dapat bertemu in real life. Selalu merapu kat FB jer kan.

Kemudian roti bakar kami sampai. Hmmm memang menepati citarasa Kjee. Rotinya tebal dan dibakar garing. Kemudian ada sebiji telor setengah masak, tertenggek diatas roti bakar. Kjee pun keluarkan ajishio pepper dari dalam beg tangan. Kjee memang sentiasa bawa ajishio pepper ni sebab Unclepali suka sangat order telor separuh masak. Kami tak suka kalau makan dengan lada sulah dan kicap.

Keenakan roti bakar semestinya pada rotinya. Menurut Hayati, roti itu memang ditempah khas dari pembekal yang sudah lama terkenal membuat roti. Menurut, kalau guna roti zaman ini, hasilnya tak sedap.

Selepas makan mi goreng, Dato Hafifi order pulak roti kaya. Kjee amik sepotong. Sedap jugak.

Lain kali datang Ipoh, gerai Hayati ini mesti kami singgah. Patutlah ramai pengunjung. Memang sedap.

Saturday, November 26, 2011

restoran binjai

Nasi dagang asli guna beras perang
Oleh ANIZA ZAINUDIN
anizazainudin@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

TERLETAK di kawasan kejiranan yang majoritinya berbangsa Cina, Restoran Binjai milik Bumiputera yang mengkhusus masakan negeri Pantai Timur seperti nasi dagang dan nasi kerabu, berjaya menarik kedatangan pelanggan tidak kira dekat mahu pun jauh.

Memulakan operasi seawal jam 7.30 pagi hingga 12 tengah malam setiap hari, Restoran Binjai menawarkan pelbagai menu mengikut masa sama ada sarapan, tengah hari dan malam.


Menurut pemiliknya, Wan Zaharah Wan Idris, pembahagian hidangan mengikut masa tertentu bertujuan mewujudkan keunikan bagi Restoran Binjai yang berusia empat tahun itu.

Bertempat di Bandar Utama, Petaling Jaya, restoran yang diuruskan Wan Zaharah bersama ahli keluarga ini menawarkan pelbagai jenis masakan enak, antara sajian yang disarankan penulis ialah nasi dagang dan nasi kerabu ayam percik.


Walaupun mengambil pendekatan menetapkan jenis hidangan untuk masa tertentu, dua menu utama ini dikecualikan berikutan permintaan sentiasa ada biarpun pada waktu petang.


“Berdasarkan maklum balas dan permintaan pelanggan, kita mendapati dua menu utama ini sentiasa menjadi pilihan mereka, terutama individu berasal dari Pantai Timur, namun ia tidak bermaksud tiada penggemar daripada negeri lain.

“Menurut pelanggan, keenakan nasi dagang di sini berbeza dengan restoran lain yang pernah mereka kunjungi, terutama kelembutan dan warna sebenar hidangan popular Terengganu itu.


“Bagi memastikan keaslian nasi dagang, kita hanya menggunakan beras perang yang sememangnya khas untuk memasak menu itu dan tidak dicampur bersama beras seperti dilakukan segelintir pengusaha,” katanya.

Penggunaan beras perang membuatkan rasa nasi dagang lebih asli dan pelanggan seolah-olah berada di negeri asalnya, lebih lazat jika dimakan bersama kari ayam atau ikan tongkol.


Menariknya, bagi mengekalkan tekstur lembut ikan tongkol dan ayam, Restoran Binjai terlebih dulu merebus bahan berkenaan manakala air rebusan menjadi sumber utama untuk menghasilkan kuah enak.


Bagi pencinta masakan Kelantan, restoran yang dinamakan sempena Mukim Binjai, Badang, seharusnya tersenarai sebagai lokasi pilihan, tambahan pula pemiliknya sememangnya berasal daripada negeri Cik Siti Wan Kembang itu.


Menawarkan empat jenis nasi kerabu termasuk ayam goreng, daging bakar dan ayam percik bersama solok lada serta kelapa parut, pelanggan boleh membuat keputusan mengikut selera masing-masing.


Keistimewaan nasi berwarna biru dihiasi ulaman kampung keluaran Restoran Binjai, ia dimasak secara tumis bersama lengkuas, halia, serai dan daun limau purut, sekali gus menerbitkan aroma lazat.


Untuk menghasilkan warna kebiru-biruan yang menjadi lambang nasi kerabu, Wan Zaharah tidak menggunakan produk pewarna di pasaran, sebaliknya lebih selesa dengan cara tradisional menjadikan bunga telang sebagai bahan utama.


Bagi sarapan, restoran yang mampu memuatkan 80 orang pada suatu masa menawarkan pilihan sajian seperti roti canai rangup, nasi lemak selain dua menu utama.


Hidangan tengah hari pula, aneka jenis masakan kampung termasuk gulai lemak ikan masin, sambal keli serta gulai kawah.


Masakan panas pula bermula jam 4 petang menyajikan hampir 30 menu, antaranya tom yam, sup, nasi goreng paprik, nasi goreng USA, mi hailam, kuetiau ladna, ayam masak merah dan daging masak kicap.

Thursday, November 10, 2011

beijing

Makan Malam Pertama di Beijing

Perjalanan saya dari Kuala Lumpur ke Beijing mengambil masa penerbangan sekitar 6 jam melewati jarak lebih 4,000 km melalui udara. Tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Beijing, ambil beg, terus keluar, tiada sebarang masalah, dan semua urusan berjalan lancar.
Pegawai China Radio International (CRI) bahagian Perkhidmatan Bahasa Melayu, Chang Shan atau nama Melayunya Puspa sedia menunggu untuk membawa saya ke hotel Mercure Wanshang di bahagian timur bandaraya Beijing.
Van yang membawa saya serta wakil media Vietnam dan Filipina yang tiba lebih awal memecut laju melalui lebuhraya lingkaran ke-6 Beijing.
Sampai di hotel, perkara pertama yang diperiksa ialah sambungan Internet. Alhamdulillah ada dan percuma untuk tetamu hotel, tetapi malangnya saya gagal mengakses Facebook (yang rupa-rupanya memang disekat di China).
Puspa cuba untuk mengaturkan makan malam yang halal untuk saya, tetapi memandangkan kawasan sekitar hotel tidak ada restoran halal, lalu timbul idea untuk membawa saya makan malam di rumah salah seorang rakan sepejabatnya yang berbangsa Melayu.

Rupa-rupanya CRI bahagian bahasa Melayu memang mempunyai tiga kakitangan Melayu dari Malaysia iaitu Puan Noraini yang dipinjam dari RTM, Puan Nelawati yang dipinjam dari DBP dan Farah.
Malam itu saya langkah kanan kerana Puan Nelawati sudi menjadi tuan rumah mengadakan mini jamuan raya dengan hidangan istimewa rendang daging, sambil tumis udang, kerabu perut, ikan masak masam manis serta pulut kuning yang turut dibantu oleh Puan Noraini.
Kakitangan lain CRI bahagian bahasa Melayu juga turut serta bersama pengarahnya, Zhang Wenwen.
Majlis kecil itu juga istimewa kerana turut meraikan hari jadi Puan Noraini.
Kemesraan sesama mereka yang semua fasih berkomunikasi dalam bahasa Melayu membuatkan saya tersenyum memikirkan keindahan bahasa sendiri dan kesungguhan negara China membangunkan dan memperkenalkan negaranya kepada bangsa-bangsa lain di dunia melalui bahasa masing-masing.
Seperti kata Puspa, CRI ibarat PBB dengan pakar-pakar asing dari seluruh dunia berkerja dalam satu tempat.

Sunday, November 6, 2011

asam pedas

sajian istimewa Kelantan dan asam pedas


ABDUL Halim menunjukkan hidangan istimewa.


MENGAMBIL kira hidangan asam pedas semakin digemari ramai walaupun di Pantai Timur, Restoran Emas 10 Perak 10 turut menawarkan menu itu kepada para pengunjung.
Apatah lagi percaturan selepas memperkenalkan menu asam pedas siakap sepanjang Ramadan mendapat sambutan menggalakkan, tentunya Pengurus restoran, Abdul Halim Ismail mahu hidangan itu terus dinikmati.
Namun asam pedas bukan satu-satunya masakan tradisional yang ditawarkan di situ, menu yang menemui pengunjung kembali kepada ‘akar’ Kelantan iaitu nasi, ulam, sambal belacan dan budu, selain makanan tradisi seperti singgang daging.
“Sebelum ini, kita hanya menyediakan masakan panas dan keistimewaan kita adalah masakan Barat serta Thai. Bermula September lalu, kita menyediakan bufe makan tengah hari dengan pelbagai jenis ulam dan lauk pauk seperti singgang daging.
‘‘Semua menu itu sesuai dengan selera masyarakat negeri ini,” katanya.
Pada masa yang sama, Restoran Emas 10 Perak 10 tidak melupakan asasnya iaitu makanan Barat seperti chicken chop dan stik.
Menu istimewa iaitu Nasi Goreng Emas 10 Perak 10 yang dihidangkan dengan daging goreng dan telur goreng turut diketengahkan.
Harga untuk sepinggan Nasi Goreng Emas 10 Perak 10 adalah RM6, manakala chicken chop RM7.
Terletak di kawasan Medan Selera Arked Perbadanan, Jalan Che Su, Kota Bharu, restoran itu berjaya mencuri perhatian orang ramai kerana dekorasi yang menarik berkonsepkan hitam dan putih.
Kreativiti pemiliknya berjaya mengubah dua gerai di medan selera itu menjadi sebuah restoran yang unik, di samping susun atur kerusi serta meja yang selesa bagi ‘penggemar lepak’ di kedai kopi.
“Kita menggabungkan dua elemen iaitu keenakan makanan dan dekorasi yang membuat pengunjung merasa santai untuk terus datang ke sini lagi,’’ kata Abdul Halim.
Tentunya ramai yang bertanya tentang susur galur nama restoran itu yang menurut pengurusnya ada kaitan dengan perniagaan emas dan perak yang diusahakan di situ.
“Arked ini adalah kawasan tukang emas dan perak berkumpul. Idea ini timbul daripada pemilik restoran supaya pelanggan yang datang, di samping makan mereka juga dapat membeli barang kemas,’’ katanya.

sajian baba

Nostalgia sajian Baba Nyonya


Balang kaca dan botol-botol lama menjadi hiasan yang menarik.


NAMANYA dipetik daripada sebuah jalan yang terletak di bandar Melaka. Jalan Tengkera atau dulunya dieja sebagai Tranquerah, bermaksud sebuah kubu pertahanan yang damai dalam bahasa Portugis .
Sedamai berada di dalamnya, dekorasi restoran ini turut mengambil inspirasi daripada apa yang terdapat di sepanjang jalan tersebut.
Idea itu diterjemahkan dengan penuh kreatif oleh pemiliknya, Alan Yun, pelakon dan model popular tanah air.
Daripada pemilihan perabot hingga kepada hiasan-hiasan kecil lama seperti botol, kalendar, bingkai gambar dan banyak lagi segalanya mengembalikan nostalgia suasana Jalan Tengkera.
"Saya turut masukkan unsur-unsur budaya masyarakat Baba dan Nyonya Melaka. Sebagai contoh, siling ini sebenarnya adalah pintu rumah tradisional Baba dan Nyonya yang terdapat di sepanjang jalan tersebut.
"Bukan itu sahaja, suis elektrik ini juga seperti yang terdapat pada zaman dahulu," ujarnya yang ditemui di restorannya di Red Carpet Avenue, Kota Damansara, Petaling Jaya, Selangor.
Menariknya melalui restoran The Tranquerah itu, Alan mengenengahkan resipi tradisi Baba dan Nyonya 100 peratus daripada chef terkenal, Florence Tan.
Kebetulan Florence yang berketurunan Baba dan Nyonya juga berasal dari Jalan Tengkera.
"Setiap masakan di sini tidak mengandungi perisa tambah sebaliknya bagi menambah keenakan, chef Florence menggunakan lebih rempah-ratus.
"Ada komen yang kami peroleh daripada pelanggan mengatakan masakan di sini seakan makan di rumah, malah lebih sedap lagi," kata Alan.
Menurutnya, antara menu mesti cuba di sini ialah ayam buah keluak yang cukup unik dari segi penyediaannya.
Ini kerana bagi yang kurang mahir tentang cara memasak buah keluak ia boleh menyebabkan keracunan.
"Untuk menyediakan ayam buah keluak, kita hanya menggunakan buah yang elok saja kerana jika ada walau sebiji pun yang rosak, seluruh periuk terpaksa dibuang.
"Apa pun rasa masakan ini unik dan sedap, lain daripada yang lain," katanya jelas Alan yang kini sedang sibuk dengan penggambaran filem arahan Shuhaimi Baba.
Selain itu pengunjung juga tidak harus melepaskan peluang menjamah sotong goreng rangup, terung goreng sambal, kangkung lemak keledek, ikan cencaru sumbat, udang masak petai dan sebagainya yang memang menyelerakan apabila dimakan bersama nasi panas.
Untuk pemanis mulut pula, The Tranquerah menyediakan bubur cha-cha dan cendol yang menggunakan gula Melaka asli bagi menyerlahkan rasanya.
Menurut Alan, kesemua sajian disediakan oleh dua chef berpengalaman yang dibantu empat pembantu dapur yang akan memastikan pelanggan tidak menunggu lama untuk menikmati hidangan diingini.
The Tranquerah dibuka setiap hari dari pukul 11 pagi hingga 11 malam

makan percuma

Makan percuma di Belinda Nasi Ayam


KEDAI Belinda Nasi Ayam yang terletak di Alor Setar, Kedah.


APAKAH perasaan anda jika ketika ingin membayar harga nasi ayam yang dimakan, tiba-tiba juruwang memberitahu: "Tidak perlu bayar, hari ini makan percuma di sini."
Ia tentu menyeronokkan bukan? Kejutan itu juga sebenarnya menanti pelanggan bertuah di restoran Belinda Nasi Ayam.
Restoran yang terletak di Pusat Perdagangan Tuanku Haminah itu memperkenalkan konsep makan percuma sebulan sekali kepada pelanggan bertuah.
Pemiliknya, Rose Belinda Jusoh, 36, berkata, ia sebagai menghargai pelanggan yang menyokong perniagaan mereka, selain bagi tujuan mempromosi nasi ayamnya.
"Sebulan sekali kami akan belanja pelanggan bertuah dengan hidangan nasi ayam. Tarikhnya akan ditetapkan iaitu antara 15 hingga 20 hari bulan, bermula pukul 12 tengah hari hingga 2 petang.
"Harinya juga tidak ditetapkan kerana ingin mengejutkan pelanggan. Seronok juga bila melihat wajah terkejut pelanggan yang kemudian sangat gembira apabila diberitahu perkara ini," katanya ketika ditemui S2 di restoran tersebut.
Menurut Rose Belinda yang juga merupakan seorang usahawan kedai gambar, restoran berkenaan menyediakan tiga set menu nasi ayam iaitu Nasi Ayam Ayam Kampung berharga RM8 satu set, Nasi Ayam Special (RM6) dan Nasi Ayam Biasa (RM3.80).
"Setiap menu didatangkan dengan kicap istimewa yang mempunyai resipi rahsia kami yang dicipta dengan nasihat anggota keluarga dan rakan-rakan terdekat.
"Nasi Ayam Ayam Kampung antara yang digemari termasuk di kalangan orang Tionghua," katanya yang sudah 10 tahun menceburi bidang perniagaan.
Kata Rose Belinda, satu lagi menu yang dijangka akan digemari adalah nasi ayam yang menggunakan burung puyuh. Menu ini akan diperkenalkan tidak lama lagi bagi memenuhi permintaan pelanggan.
Bagi mengekalkan kualiti nasi dan ayam yang dimasak kata Rose Belinda, dia sendiri yang akan ke dapur setiap pagi untuk memasak hidangan tersebut.
"Restoran ini mempunyai 10 pembantu tetapi bila bab memasak, saya sendiri yang akan buat bagi memastikan kualiti masakan," jelas ibu kepada empat anak ini.
Wanita tersebut menguruskan restoran tersebut bersama birasnya, Salmi Chin, 38, dengan dorongan suami tersayang, Ranzi Halim, 40, yang juga merupakan seorang usahawan.
Menurut Ranzi, berbeza dengan perniagaan restoran nasi ayam lain, restoran berkenaan memperkenalkan konsep kopitiam.

Thursday, November 3, 2011

menu 1malaysia

Restoran Menu Rakyat cepat popular


Sebahagian pelanggan yang kebanyakan pelajar Politeknik Melaka tidak melepaskan peluang merasa makanan Menu Rakyat 1Malaysia selepas majlis pelancaran menu tersebut di Melaka, semalam.


MELAKA 3 Nov. - Jika inginkan makanan murah pada harga berpatutan hanya restoran yang menyertai program Menu Rakyat 1Malaysia adalah tempat yang menjadi tujuan.
Mana-mana restoran atau kedai makan tidak mampu menawarkan harga paling rendah bagi sarapan pagi dan makan tengah hari melainkan yang menyertai program tersebut.
Usaha kerajaan melalui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan memperkenalkan program Menu Rakyat 1Malaysia ke seluruh negara setakat ini mendapat sambutan luar biasa daripada orang ramai.
Siapa sangka dengan hanya membayar semurah RM6, orang ramai boleh menikmati sarapan pagi dan makan tengah hari di mana-mana restoran, kedai makan atau kafetaria yang menyertai program tersebut.
Pernahkah terbayang dengan hanya membayar RM2 untuk sarapan pagi, anda boleh menikmati roti telur dan teh tarik dan makan tengah hari dengan nasi, satu ketul ayam serta air limau ais hanya pada harga RM4.
Bagi mereka yang pertama kali menjejakkan kaki di restoran atau kedai makan itu pastinya terkejut dengan kadar harga yang ditawarkan kerana ia tidak terdapat di tempat lain.
Program itu diadakan bagi mengurangkan bebanan rakyat terutama dalam suasana kenaikan harga barangan global ketika ini serta memudahkan mereka menikmati sarapan pagi dan makan tengah hari pada harga yang cukup murah.
Bagi restoran yang menyertai program ini, mereka akan didaftarkan di bawah program Menu Rakyat 1Malaysia dan nama restoran terbabit disenaraikan di portal Pengguna 1Malaysia Bijak.
Dianggarkan 1,000 buah restoran dan kedai makan di seluruh negara menyertai program tersebut.
Di negeri ini, sebanyak 40 buah restoran di Melaka Tengah, Alor Gajah dan Jasin tidak terkecuali menyertai program tersebut.
Pengerusi Jawatankuasa Pengangkutan, Penerangan, Perpaduan dan Pengguna, Datuk Ghazale Mohamad berkata, sejak program itu dilancarkan, ia mendapat sambutan yang menggalakkan bukan sahaja daripada pemilik restoran di negeri ini tetapi juga di kalangan orang ramai.
Menurutnya, daripada maklum balas yang diterima daripada kesemua pengusaha restoran dan kedai makan yang menyertai program tersebut, mereka melahirkan rasa gembira kerana kedatangan orang ramai yang di luar jangkaan.
''Mereka akui walaupun margin keuntungan mungkin sedikit tetapi mereka tetap mendapat pulangan yang cukup memberangsangkan selain jualan harian turut meningkat.
''Bagi orang ramai pula rata-rata yang ditemui oleh kakitangan Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan melahirkan rasa gembira dengan usaha kerajaan memperkenalkan program Menu Rakyat 1Malaysia," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan program Menu Rakyat 1Malaysia di Restoran Berkat, Plaza Pandan Malim di sini hari ini.
Ghazale berkata, orang ramai menyambut baik usaha kerajaan itu memperkenalkan program tersebut kerana ia secara tidak langsung dapat membantu golongan berpendapatan rendah menikmati sarapan pagi dan makan tengah hari pada harga yang cukup murah.
Menurutnya, pihaknya menyasarkan sebanyak 80 premis kedai makan dan kafetaria akan menyertai program ini sehingga hujung tahun ini.
''Mana-mana restoran yang berminat secara sukarela boleh menyertai program ini kerana ia terbuka kepada semua pengusaha,"ujarnya.
Lebih penting katanya, semua pengusaha terbabit akan dibantu oleh PPDNKK untuk mempromosi premis mereka melalui laman portal 1Pengguna.com, facebook dan media massa bagi menyalurkan maklumat kepada pengguna di negeri ini.
Bagaimanapun katanya, pengusaha premis tidak terkecuali untuk mematuhi peraturan untuk menjaga kebersihan dan beretika dalam menguruskan perniagaan melalui program tersebut.
Ujarnya, bahagian penguat kuasa PPDNKK akan memantau semua premis terbabit agar mematuhi arahan menyediakan sarapan dan makan tengah hari pada harga RM6.
Katanya, sebarang aduan dan pertanyaaan, orang ramai boleh menghubungi PPDNKK melalui email: e-aduan@kpdnkk.gov.my atau talian 06-2345822/5825 atau talian bebas tol 1-800-886-800.
Sementara itu pemilik Restoran Berkat, Hamidee Khamis, 35, berkata, beliau tidak menyangka restorannya dipilih untuk menyertai program tersebut.
''Restoran saya dipilih oleh PPDNKK kerana makanan yang dijual di sini pada harga yang berpatutan selain soal faktor kebersihan premis ini," ujarnya.
Menurutnya, sejak menyertai program Menu Rakyat 1Malaysia, restoran ini dikunjungi orang ramai dan boleh dikatakan menjadi sesak pada waktu tengah hari.
Usaha kerajaan itu katanya, disifatkan sebagai langkah yang tepat kerana ia secara tidak langsung dapat membantu peniaga meningkatkan hasil jualan berbanding sebelum ini.
''Saya rasa syukur program ini banyak membantu saya meningkatkan pendapatan harian walaupun harga sarapan pagi hanya RM2 dan makan tengah RM4, tetapi pulangan cukup memberangsangkan," ujarnya.
Katanya, pihaknya menawarkan 5 pakej sarapan pagi pada harga RM2 iaitu kuih dua set, roti kosong, roti telur, roti bakar, mi, kuetiau dan bihun goreng dengan dua minuman pilihan teh tarik atau kopi.
Bagi makan tengah hari pula menawarkan dua pakej iaitu nasi, sayur, ikan goreng dan kuah manakala bagi pakej kedua pula dengan nasi, sayur dan satu ketul ayam bersama tiga minuman pilihan iaitu air limau ais, bandung atau jagung.

Monday, May 23, 2011

Pulut Tapai

Enaknya cendol pulut tapai

Oleh YATIMIN ABDULLAH
utusankelantan@utusan.com.my

SEBUT sahaja cendol pulut tapai yang dijual di pekarangan Stadium Sultan Muhammed 1V, Kota Bharu, Kelantan pasti ramai yang akan menelan air liur.

Ini kerana resipi minuman ala makanan yang diusahakan Ilias Mamat, 45, sejak 40 tahun lalu mempunyai keenakan tersendiri sehingga pelanggan yang menikmatinya sekali, pasti ingin mencuba untuk kali kedua dan seterusnya.

Resipi cendol pulut tapai ciptaan Allahyarham bapanya, Mamat Mat Amin itu sehingga kini menjadi tarikan pelanggan dari dalam dan luar negeri sehingga menjadi sebutan ramai.

Gerai yang dibuka dari pukul 10.30 pagi sehingga 5.30 petang itu menjadi pilihan kakitangan kerajaan, swasta, pelajar sekolah dan ahli perniagaan untuk membasahkan tekak dan menghilangkan dahaga ketika cuaca panas terik.

Menurut Ilias, waktu tengah hari dan petang ketika warga kerja pulang ke rumah, merupakan masa paling sibuk di gerainya menyebabkan dia tidak menang tangan melayan pelanggan, sehingga terpaksa meminta dua adiknya membantu.

Ditanya tentang perniagaannya itu, Ilias memberitahu, semasa berumur 10 tahun lagi dia selalu membantu arwah ayahnya berniaga selepas waktu persekolahan.

"Pada masa itu, harga cendol pulut tapai hanya 15 sen semangkuk dan harga ditawarkan kini adalah RM2.

"Formula saya untuk mendapatkan cendol pulut tapai yang sedap ialah kesemua bahan seperti cendol, santan, manisan gula melaka, tapai, durian dan biji selasih mestilah yang baharu," katanya ketika ditemui S2.

Menurutnya, untuk menambahkan lagi keenakan cendol pulut tapai, dia mencampurkan durian bersama manisan gula melaka agar lebih pekat dan menyelerakan.

Gerai cendol pulut tapai Ilias dibuka setiap hari kecuali pada hari Jumaat dan ketika cuaca hujan.

Dia juga sedia menerima tempahan untuk majlis-majlis perkahwinan, majlis korporat, rumah terbuka, hari keluarga, kursus, seminar dan mesyuarat.

"Saya sentiasa memastikan cendol pulut tapai sentiasa bersih, segar dan berkualiti serta lazat untuk dinikmati di samping mengekalkan resipi asli yang diperkenalkan semenjak 1971 lagi," ujarnya.

Thursday, May 5, 2011

Nasi Beriani


Sup power Bariani Power House

Gambar Mohd. Naim AZIZ


Nasi beriani gam daging yang menjadi pilihan pelanggan.

Dilihat dari luar, mungkin ramai di kalangan pelanggan akan terkeliru sama ada restoran ini hanya menyediakan nasi beriani sahaja berdasarkan papan tanda yang terpampang tertulis Bariani Power House.

Sebenarnya, restoran ini menyediakan lebih daripada itu. Semua dalam satu adalah perkatan yang tepat untuk melabelkan restoran yang terletak di 109, Jalan USJ 1/4G, Subang Mewah, Selangor ini.

Sebut sahaja apa yang dihajati, semuanya akan tersedia di hadapan mata. Dari nasi lemak, nasi lemak berkukus, bihun dan sebagainya untuk waktu sarapan pagi, sehinggalah ke lauk-pauk kampung di tengah hari dan goreng-gorengan, masakan ala barat dan Thai di waktu petang dan malam.

Tidak ketinggalan bagi penggemar masakan Cina, boleh juga didapati di sini, termasuk rojak, aneka sup, aneka mi, bihun sup, ikan kukus, sate dan pelbagai lagi.

Menurut pengurus restoran, Mariyana Abdullah, ini merupakan restorannya yang ketiga dan baru dibuka sebulan lalu, namun telah dapat menarik perhatian pelanggan sekitar Subang Jaya.

''Restoran ini dibuka seawal pukul 6 pagi bagi mereka yang mahu bersarapan dan akan ditutup pada pukul 2 pagi.

''Selain nasi beriani gam yang menarik perhatian setiap pelanggan yang datang, sup power juga menjadi permintaan mereka, selain beriani gam ayam dan kambing," jelasnya yang mempunyai 11 orang pekerja.

Dibantu anak-anak dan suami, Ahmad Zailan Zainuddin, bekas chef dari sebuah hotel terkemuka di Kuala Lumpur itu memberitahu, restorannya juga menyediakan skrin gergasi bagi pelanggan yang mahu menonton bola .

''Saya mahu menjadikan restoran ini satu tempat beristirehat untuk sekeluarga. Bagi mereka yang mahu menjadikan restoran ini sebagai lokasi mengadakan majlis hari jadi, kenduri-kendara, keraian dan sebagainya, mereka dialu-alukan berbuat demikian kerana restoran ini mempunyai ruang yang agak luas untuk majlis-majlis seperti itu dengan potongan 20 peratus untuk setiap jamuan.

''Selain ruang yang luas, di sini juga terdapat sistem audio, termasuk skrin projektor dan karaoke yang boleh digunakan oleh setiap pelanggan pada malam hari secara percuma," tambahnya.

Apa yang menariknya, para pengunjung yang datang ke sini akan terleka sebentar melihat barangan antik seperti radio, mesin taip, seterika lama dan sebagainya yang diletakkan di satu sudut sebagai perhiasan di restoran itu.

Menurut Mariyana restoran ini juga menyediakan hidangan sihat untuk para pengunjung yang mahu berdiet antaranya sup sayur istimewa.

Selain menjamu selera di sini, Mariyana memberitahu, pihaknya juga menyediakan perkhidmatan katering untuk semua jenis jamuan termasuk untuk majlis perkahwinan.

Bagi mereka yang berminat untuk mendapatkan perkhidmatan katering dan mengunjungi restoran ini boleh hubungi talian 019-463 4156 atau 016-230 6694.
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

Saturday, March 26, 2011

Rasa Satay

MAKAN-MAKAN: Resipi turun-menurun
Oleh NORAINON OTHMAN
norainon@hmetro.com.my

JARANG ada yang menolak jika disuakan sate. Makanan tradisi beraroma itu cukup sinonim dan digemari orang kita. Malah, ia menjadi menu rebutan di kebanyakan jamuan.

Keenakan bahan yang diperap dengan rempah-ratus, dicucuk lidi dan dibakar, kemudian dimakan bersama timun, bawang mentah, nasi himpit dan sambal kacang cukup merangsang selera. Bagaimanapun, restoran yang mengusahakan sate sebagai menu utama boleh dibilang dengan jari.

Jika anda penggemar sate, kunjungilah Rasa-Rasa Satay di Prima Sri Gombak, Batu Caves, yang menyajikan pelbagai jenis sate. Restoran sate berkenaan mulanya dibuka di Kuantan tetapi berpindah ke lokasi baru kerana pasaran lebih tinggi dan bahan mentah mudah diperoleh.

Pengurusnya, Mohamad Rizuan Mohd Razali, berkata resipi turun-temurun menjadi pertaruhan dia dan kakaknya, Zalina, mengusahakan restoran berkenaan.



“Resipi sate ini daripada datuk kami yang dulu selalu mengambil tempahan sate. Ia kemudian diperturunkan kepada bapa saudara yang turut berniaga sate di tepi jalan. Kini saya dan kakak pula mempopularkannya kerana yakin sate menu yang digemari rakyat Malaysia,” katanya.



Menurutnya, selain sate daging ayam, lembu dan kambing yang menjadi kegemaran pelanggan, pihaknya turut menawarkan sate pedal, hati, perut dan rusa. Sate pedal dan hati yang jarang ditawarkan di tempat lain digemari kaum hawa.

Ramuan sama digunakan untuk memerap semua jenis sate termasuk pedal, perut dan hati tetapi bahan mentah berkenaan direbus terlebih dulu sebelum diperap dengan ramuan rempah-ratus.

“Untuk sate ayam, semua bahagian digunakan manakala untuk daging (lembu), bahagian batang pinang dipilih kerana ia lembut dan lebih enak manakala sate kambing diperbuat daripada bahagian paha.

“Sate diperap seharian sebelum dicucuk dan dibakar.

“Sate bukan saja digemari orang Melayu tetapi juga Cina dan India. Sambutan diterima sejak restoran ini beroperasi, Oktober lalu cukup memberangsangkan. Selain pesanan untuk makan di restoran, kami turut menerima tempahan untuk katering.

“Bagi tempahan sekurang- kurangnya 500 cucuk, kami menyediakan khidmat bakar dan hantar kepada pelanggan tetapi jika 1,000 cucuk ke atas, ia boleh dibakar di lokasi. Setakat ini, kami banyak menerima tempahan katering daripada orang Cina,” katanya.

Sate arnab ditawarkan harga promosi RM1.60 secucuk. Walaupun tidak semua orang berani mencuba sate arnab, ia mempunyai pelanggan tetap kerana dagingnya lembut dan halus.

Tidak puas makan sate, hidangan sampingan yang boleh dicuba ialah nasi goreng istimewa Rasa-Rasa Satay. Menu mengandungi udang bersalut tepung, telur dadar, keropok, tiga cucuk sate dan sambal belacan itu pasti tidak rugi jika dipesan.

Selain itu, anda boleh mencuba mi bandung yang dilengkapi bahan yang menambah keenakannya seperti telur, udang, ayam, sawi dan tauge. Jika mahu, nasi kukus ayam berempah, cuba pesan menu itu di Rasa Rasa Satay yang turut menyertakan kari ayam, sambal belacan dan acar timun. Bagi yang tidak menggemari masakan pedas atau kanak-kanak, mi hailam amat sesuai. Ia mewah dengan udang, sotong dan ayam.

Bagi mengelakkan loya kerana makan banyak, minuman sesuai disediakan di Rasa Rasa Satay. Anda boleh membasah tekak dengan jus epal kasturi, epal asam boi atau kasturi asam boi.


NASI GORENG RASA-RASA SATAY

Bahan:

Sotong, ayam dan udang.
1 sudu teh sambal belacan.
1 sudu makan cili kisar.
3 ulas bawang merah.
1 ulas bawang putih.
Garam dan gula secukup rasa.
1 sudu rempah sate.
Kailan, lobak merah, kubis dan kubis ungu (dihiris kecil).
3 ekor Udang goreng tepung.
Telur dadar.
3 cucuk sate.
Sambal belacan.

Cara memasak:
Tumis bawang putih dan merah. Tuang sedikit air. Masukkan sotong, udang dan ayam. Masukkan sambal belacan dan cili kisar, garam, gula dan rempah sate. Masukkan nasi, gaul diikuti kailan, lobak merah, kubis dan kubis bunga.

MAKANAN-HARGA
1. Sate ayam/hati 60 sen (secucuk)
2. Sate daging/kambing 70 sen (secucuk)
3. Sate perut muda RM1 (secucuk)
4. Sate arnab RM1.60 (secucuk)
5. Nasi goreng istimewa Rasa-Rasa Satay RM10
6. Mi Bandung RM6.50
7. Nasi kukus ayam berempah RM6.50
8. Mi hailam RM6.50

MINUMAN-HARGA
1. Epal kasturi RM3.30
2. Epal asam boi RM3.30
3. Kasturi asam boi RM3.30

ALAMAT: G-75, Jalan Prima SG3, Prima Sri Gombak, 68100 Batu Caves.
TELEFON: 017-3871416
WAKTU PERNIAGAAN: Selasa hingga Ahad dari jam 12 tengah hari hingga 12 malam.
Kongsi artikel ini menerusi media sosial

Friday, March 18, 2011

Nasi Ayam Bacang


Nasi ayam Bachang


SUZIANA Ali (tengah) bersama kedua-dua anaknya, Dhamirah Hadirah (kanan) dan Dhamirah Nabiilah memegang antara hidangan istimewa iaitu nasi ayam special dan chicken chop di Restoran Nasi Goreng Special, Jalan Bachang, Melaka.

SINGGAH MAKAN
MELIHAT keadaan luar restoran, Nasi Ayam Special berhampiran lampu isyarat Jalan Bachang di Melaka, tiada bezanya dengan kedai makan nasi ayam lain.

Namun, bagi mereka yang sering menjadikan restoran ini 'tempat melepak' setiap kali tiba waktu makan tengah hari, keenakan ayam goreng kukus ala masakan Cina sudah sinonim dengan selera mereka.

Ramai yang tidak boleh melupakan keenakannya yang bukan sahaja sehingga menjilat jari, malah terbawa-bawa sehingga sudah pulang ke rumah.

Restoran nasi ayam ini diusahakan oleh Suziana Ali, 38, bersama suami dengan menyajikan hidangan nasi ayam yang ringkas, lazat dan cepat bersesuaian dengan selera masyarakat pelbagai kaum di negara ini.

Paling paling penting, harganya sangat berpatutan iaitu hanya RM3.50.

Restoran itu beroperasi sejak 16 tahun lalu. Ia dibuka dari pukul 11 pagi sehingga 12 tengah malam setiap hari kecuali Selasa.

Sepanjang beroperasi di lokasi itu, penambahbaikan rasa dan ramuan nasi ayam restorannya sering dilakukan. Ia demi memastikan pelanggan tidak bosan dengan sajian di restoran itu.

"Kita sediakan hidangan nasi ayam yang ringkas, sedap dan cepat sesuai untuk pelanggan kami yang rata-ratanya kakitangan pejabat," kata Suziana yang ditemui S2 baru-baru ini.

Pelanggan yang membuat pesanan nasi goreng misalnya, akan dihidangkan dengan ayam daripada sajian nasi ayam bagi membolehkan mereka merasa keenakannya bersama sambal pedas sebagai sos.

Cara penyediaan ayam goreng untuk nasi ayam ini nampak ada persamaan dengan cara peniaga nasi ayam berbangsa Cina. Daging ayam direbus sebelum digoreng agar ia nampak lembap dan segar.

"Namun, saya ada resipi sendiri yang saya cipta dan ternyata diminati ramai," jelas Suziana sambil tersenyum merahsiakan ramuan menyediakan sajian ayam goreng untuk nasi ayamnya itu.

Restoran Nasi Ayam Special juga mempunyai cawangan di Lorong Pandan di Melaka.

Selain nasi ayam, pelanggan juga boleh menikmati jenis hidangan lain seperti sajian Barat antaranya chicken chop, fish and chips, ais kacang aiskrim, tauhu bakar dan masakan goreng lain.

Sekiranya berhasrat mencuba nasi ayam di Restoran Nasi Ayam Special di Jalan Bachang ini bersama keluarga, jangan lupa memesan sup sayur dan telur dadar.

Ia pelengkap hidangan dengan minuman selain jus buah, anda juga boleh mencuba ais kacang aiskrim yang paling digemari oleh pelanggan ke restoran itu.

Penulis sukar untuk menggambarkan keenakan nasi ayam di sini menerusi catatan. Datanglah untuk merasainya sendiri.

TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

Thursday, March 17, 2011

Nasi Ayam Di Kuantan


Restoran Monrods kini temui peminat nasi ayam di Kuantan


Restoran Monrods di Jalan Mahkota, Kuantan menyediakan pelbagai resipi nasi ayam untuk dinikmati pelanggan pada waktu petang atau malam.

KUANTAN 17 Mac - Sebut sahaja nama Monrods pasti ada menyangka premis perniagaan tersebut menyediakan masakan ala barat atau pun diusahakan oleh orang bukan Melayu.

Terletak di lokasi strategik di Jalan Mahkota, di tengah pusat bandar ini Restoran Monrods dimiliki oleh dua sahabat, Rosli Rashid dan Roslan Zainol Abidin.

Restoran itu menyediakan gabungan menu, tradisional Melayu, ala timur dan barat.

Berkonsepkan moden kontemporari dengan menggabungkan warna merah dan putih pastinya membuat pengunjung terpegun dengan hiasan dalaman yang bertemakan gaya, rasa serta keriangan.

Kini restoran yang beroperasi di Lembah Klang turut mendapat perhatian Koperasi Pegawai-Pegawai Kerajaan Pahang (KPKP) apabila berminat menjadi francaisi bagi mengembangkan aktiviti perniagaan koperasi tersebut di Jalan Mahkota di bandar ini.

Pengarah Urusan Monrods, Roslan berkata, inilah kali pertama sebuah koperasi tertua di negeri ini berminat bekerjasama dengan pihaknya membuka restoran itu di sini.

Menurutnya, menu dihidangkan menepati cita rasa semua golongan yang berbilang bangsa serta harga yang ditawarkan adalah berpatutan.

Jelas beliau, antara hidangan menjadi pilihan pengunjung adalah kepelbagaian nasi ayam seperti Nasi Ayam Di Istana yang menyajikan ayam goreng berempah menggunakan rempah ratus terpilih.

''Terdapat juga Nasi Ayam Di Madu, Nasi Ayam Di Panggang serta Nasi Ayam Di Hainan dan pengunjung boleh membuat pilihan mengikut selera masing-masing," katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru- baru ini.

Selain nasi ayam, Restoran Monrods juga menyediakan hidangan ala Barat termasuk stik daging kambing dan ayam, spageti, emping kentang serta pelbagai lagi.

Lebih istimewa katanya, Monrods menyajikan menu tradisional Melayu iaitu ubi kayu rebus yang dimakan bersama sambal ikan bilis dan kelapa parut.

''Selain itu hidangan makan ringan lain adalah mi rebus, cucur kodok, cucur ikan bilis dan cucur keledek," katanya.

Tambah Roslan, sambil menikmati hidangan, pengunjung akan dihiburkan dengan persembahan kumpulan muzik bagi memenuhi cita rasa pengunjung yang terdiri daripada pelbagai peringkat usia.

''Bagi mereka yang ingin mengadakan majlis-majlis keraian seperti sambutan hari lahir dan sebagainya, kami turut menyediakan ruang yang boleh menempatkan seramai 200 tetamu pada satu-satu masa," katanya.

Beroperasi setiap hari dari pukul 11 pagi sehingga 12 malam, Restoran Monrods sedia menerima tempahan pelbagai majlis keraian dengan berhubung pihak pengurusan atau menghubungi di talian 09-5030607.

TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

Friday, March 11, 2011

Cara Buat Sos lada Hitam


Sos lada hitam, piza


Sos lada hitam

Soalan:

SAYA memang minat stik. Saya dah cuba membuat kedua-duanya tetapi masalahnya tentang penyediaan sosnya yang kurang sedap walaupun saya ikut seperti dalam buku masakan. Boleh chef bagi tip yang betul cara membuatnya atau ada bahan lain yang perlu ditambah?

ABDULLAH THANI,

abdullah1963@ymail.com.

Jawapan:

Sos black pepper menggunakan asas stok iaitu stok perang yang dimasak secara perlahan-lahan sehingga isipadunya menjadi setengah. Stok perang ini kemudian digunakan pula untuk membuat sos perang yang dikenali sebagai demi glace.

Demi glace merupakan konsentrasi stok perang tadi dan digunakan untuk membuat pelbagai jenis sos dan antaranya adalah sos lada hitam (blackpepper sauce). Untuk menyediakan stok perang anda memerlukan tulang lembu (anda boleh juga menggunakan tulang lain selain tulang lembu), lobak merah, bawang merah, seleri, tomato puri, tepung dan herba campuran yang dipanggang sehingga keperangan dan kemudian direbus.

Masa merebus perlulah lama supaya rasa daging dapat diekstrak. Masa merebus boleh mengambil masa lebih dari satu jam bergantung kepada berapa banyak stok yang ingin anda sediakan.

Teknik membakar juga perlu betul. Anda perlu membakar sehingga semua bahan betul-betul menjadi perang gelap tetapi tidaklah sampai menjadi hangus. Hasilnya, stok anda akan menjadi perang gelap. Warna inilah yang diingini dalam penyediaan stok perang. Oleh itu apabila anda menggunakan stok, warna demi glace anda tidak menjadi pudar.

Saya telah mengubah suai sedikit proses dan bahan-bahan yang digunakan agar proses dan masa membuat black pepper sauce menjadi lebih mudah dan singkat. Untuk pengetahuan saudara, saya pernah berkongsi resipi membuat sos piza dalam keluaran yang lalu.

TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

Sunday, January 16, 2011

Jom




Pesta kulinari cara kita

KUNJUNGAN bisnes ke Kuching sering disertai pesanan keluarga dan teman terhadap ikan terubuk di Pasar Satok.

SAYA mempunyai keluarga sepupu yang tinggal di Woodlands, Singapura, iaitu sebuah kejiranan yang paling hampir dengan pintu masuk republik tersebut dari Johor Bahru.

Beberapa hari dalam seminggu (jika bebas daripada komitmen kerjaya dan persekolahan), mereka sanggup meredah kesibukan Tambak Johor semata-mata untuk melunaskan beberapa agenda.

Di Johor Bahru, mereka membeli-belah barangan keperluan harian di pasar tani dan pasar raya hiper atau menghabiskan masa di pusat beli-belah. Mereka seronok berbelanja dan berbelanja lantaran penggandaan nilai dolar kepada ringgit.

Sebenarnya pada kebanyakan masa, tarikan ke Johor Bahru itu hanyalah kerana mereka mahu menikmati kelazatan martabak di Kampung Melayu Majidee ataupun mi rebus tulang di sebuah restoran di Jalan Mahmoodiah.

Hanya disebabkan tarikan kelazatan dua hidangan itu, kuasa ekonomi mereka tidak putus mengalir ke banyak pihak di Johor Bahru. Kelaziman aktiviti keluarga sepupu saya itu hanyalah satu contoh kecil.

Godaan kulinari Malaysia tidak dinafikan mempunyai pengaruh tersendiri. Ia sama seperti mereka yang cepat-cepat memesan Nasi Lemak Pak Nasser dalam perjalanan pulang ke tanah air dalam pesawat AirAsia; atau sanggup ke Pasar Satok, Kuching, Sarawak, demi terubuk bakar; mahupun sanggup berasak-asak di gerai Cendol Jam Besar di Melaka untuk membasahkan tekak.

Makanan, dalam apa juga situasi dan kesempatan, adalah elemen yang mencetus tujuan berlibur selain membuka pintu rezeki kepada yang menyediakannya.

MASAKAN beridentiti Malaysia perlu dipopularkan di peringkat antarabangsa.

Jana pendapatan

Masakan Malaysia sememangnya penyumbang kepada rentak pelancongan. Begitulah yang diyakini Pemilik dan Pengurus Riverstone Eco-Resort, Hamidah Asararuddin. Menurutnya, para pengusaha penginapan tidak seharusnya mengetepikan kepentingan kualiti makanan di premis mereka.

“Resort ini menerima kunjungan tetamu harian dan mingguan yang mahu menikmati hidangan signatur kami yang popular iaitu ikan patin tempoyak, aneka sajian belut dan nasi ambeng,” ujarnya yang memastikan setiap resipi itu mendapat sentuhan peribadi di dapur resortnya.

Hamidah sangat percaya pada idea mempelbagaikan hasil pendapatan melalui tarikan makanan. Pengurus yang realistik tentang aspek pusingan modal itu memberitahu, pengusaha penginapan yang tidak mementingkan kualiti sajian makanan, boleh memberi kesan kepada keseluruhan pengusaha penginapan lain di kawasan yang sama.

“Lama-kelamaan, prospek kedatangan pengunjung boleh berkurangan lantaran tanggapan tidak baik tentang mutu makanan di sesebuah tempat.

“Saya amat ambil berat tentang hal tersebut. Trend kedatangan pelanggan untuk bermalam atau menjalankan program bina semangat mungkin bermusim. Pendapatan tidak boleh bergantung sepenuhnya melalui kelompok pelanggan tersebut.

“Namun, keistimewaan hidangan di sini membuatkan pelanggan yang sama muncul berulang kali,” kata Hamidah mengenai keistimewaan resortnya itu yang terletak di Hutan Lipur Sungai Tua, Batu Caves, Selangor.

Skala besar

Pengusaha seperti Hamidah mewakili ramai pengusaha makanan yang menyasarkan kelompok pelanggan kelas pertengahan.

Melihat pada perspektif yang lebih luas, Kementerian Pelancongan sejak tahun 2003 telah mencanang penganjuran Festival Gourmet Antarabangsa Malaysia (MIGF). Pameran makanan, pengenalan produk dan perkhidmatan kulinari itu membesarkan skala tarikan industri pemakanan.

Bercakap mengenai acara yang menerobos prospek ekonomi berasaskan pelancongan itu, Menteri Pelancongan, Datuk Sri Dr. Ng Yen Yen berkata, walaupun Malaysia mempunyai banyak makanan jalanan yang lazat dan terkenal, kehendak pelancong yang mempunyai kuasa belanja di meja fine dining perlu juga diberi perhatian.

“Hanya dengan memiliki makanan-makanan yang lazat tidak cukup untuk memenuhi permintaan pelancong yang bercita rasa tinggi, delegasi persidangan dan juga pengembara korporat dan bisnes.

HIDANGAN nasi lemak dalam pesawat AirAsia menyambut keinginan perantau yang merindui cita rasa Malaysia.

“Kita perlukan keseimbangan dan kepelbagaian. Sebagai tambahan daripada tradisi makanan santai, kita mengharapkan perkembangan bidang kulinari antarabangsa termasuk suasana tempat makan kelas dunia, menu kreatif, persembahan artistik dan juga perkhidmatan kelas dunia,” ujar Yen Yen tentang rasional penganjuran MIGF.

Identiti Malaysia

Menilai dari sudut lain, hakikatnya makanan beridentitikan Malaysia belum cukup dikenali secara meluas di luar negara. Kita belum mencapai kejayaan seperti sushi yang dikomersialkan Jepun, pasta yang membawa ‘tanda dagang’ Itali, mahupun tom yam yang pantas dikaitkan dengan Thailand.

Meskipun begitu, kita sedang dan mampu mencapai matlamat tersebut melalui pelbagai usaha. Pada masa yang sama, kerancakan pesta kulinari di dalam negara perlu terus dibudayakan, baik di gerai, warung, kafe konsep, kedai makan kejiranan hinggalah ke rangkaian restoran mewah di hotel serta brasserie mewah di lokasi kelas satu.

Seni memasak dan nikmat makan sebenarnya bukan sekadar norma atau keperluan hidup semata-mata. Setiap baris resipi, cara penyediaan, sumber bahan dan ramuannya adalah warisan negara yang berkesinambungan.

Ia perlu selalu ‘dipanaskan’ sementara menunggu waktu menjadi sajian yang menakluk selera masyarakat tempatan, serantau dan antarabangsa.

Monday, January 3, 2011

24 Jam

Nasi lemak 24 jam


“JIWANGNYA nama restoran ni,” usik penulis sambil disambut tawa pengurusnya, Azhar Mohamad Zain. Masakan tidak, tempat menjamu selera itu memilih perkataan cinta dan sayang sebagai nama restoran.

Restoran dan Katering Nasi Lemak Cinta Sayang (NLCS) mendapat namanya disebabkan gerai pertama diusahakan ibu saudara Azhar, Zaiton Said, berdepan Cinta Sayang Golf & Resort, Sungai Petani.


Dibuka 24 jam, NLCS yang beroperasi hampir dua tahun di Seksyen 7, Shah Alam, berkonsep layan diri dengan nasi lemak sebagai sajian utama.

“Restoran ini beroperasi 24 jam untuk memenuhi keperluan pelanggan yang ingin menjamu selera tidak kira masa. Saya pernah menjadi pelajar dan tidak kira masa terasa mahu makan nasi lemak.


“Nasi lemak juga menu yang ringkas dan mudah disediakan, jadi pelanggan tidak perlu tunggu lama untuk mendapatkan pesanan. Di sini, jam 3 hingga 6 pagi pun orang masih cari nasi lemak,” katanya.


Nasi lemak di NLCS sememangnya enak kerana cukup lemak selain sambal tumis yang istimewa begitu membuka selera.

Selain nasi lemak dan roti canai tersedia 24 jam, ia menawarkan menu nasi campur bermula jam 11 pagi hingga 3 petang manakala ala carte dari jam 3 petang hingga 3 pagi.


Pilihan lain sarapan pagi ialah kuetiau, mihun, mi goreng dan nasi goreng. Berkonsep layan diri, pelanggan boleh memilih sendiri lauk untuk dimakan dengan nasi lemak seperti ayam masak merah, paru-paru, daging masak kicap, sambal ikan bilis, sambal tumis udang, ayam goreng, rendang daging, telur dadar, telur masin atau sambal sotong.

Menu sarapan pagi ditukar kepada lauk nasi campur bermula jam 11 pagi. Lebih banyak pilihan lauk ditawarkan, terutama masakan kampung seperti masak lemak cili api, asam pedas, kari, sup, ikan keli bakar selain kembung dan pari, ayam bakar, pelbagai sayuran dan ulaman seperti timun, ulam raja, kacang panjang selain terung dan bendi celur. Pilihan cicah ialah sambal belacan, sambal tempoyak, sambal kicap dan air asam.


“Ada 40 hingga 50 lauk yang sentiasa ditukar menu untuk memenuhi cita rasa pelanggan. Menu sampingan ialah bihun sup dan laksa Pulau Pinang, manakala char kuetiau boleh dipesan bermula jam 3 petang.


“Kami mensasarkan pelanggan di kalangan penuntut dan keluarga. Restoran ini sesuai sebagai tempat bersantai, mengadakan perbincangan atau perjumpaan keluarga,” katanya.


Mampu menampung 200 orang pada satu masa, ia cuma ditutup pada Aidilfitri dan Aidiladha. NLCS yang menerima tempahan katering turut mempunyai dua cawangan di Sungai Petani.


“Berdasarkan komen pelanggan, minuman di sini menarik kerana walaupun jenis yang biasa ditawarkan kebanyakan restoran lain, rasanya lebih pekat dan enak.


“Minuman menarik dicuba ialah teh tiga lapis menggunakan gula nipah sebagai bahan pemanis dan sirap bandung cincau,” katanya.